Berita Harian

Dua beranak disiasat kes seleweng RM4 juta

-

Kuala Lumpur: Dua beranak yang juga pegawai kanan Pusat Pembanguna­n Kemahiran Perindustr­ian Melaka (MISDEC) ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam untuk siasatan kes menyelewen­g kira-kira RM4 juta milik pusat berkenaan.

Mereka masing-masing berusia 76 dan 43 tahun, ditahan dalam satu operasi SPRM Melaka selepas disyaki menyalahgu­na kuasa untuk melulus serta memindahka­n wang milik MISDEC ke akaun lain dalam tempoh 2014 sehingga 2015.

Siasatan awal mendapati wang berkenaan dipindahka­n ke akaun syarikat milik dua beranak terbabit melalui beberapa keping cek.

Sumber berkata, SPRM sudah membekukan satu akaun syarikat milik dua beranak berkenaan yang mempunyai hampir RM600,000, selain merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan perkakasan syarikat bernilai hampir RM350,000.

Peruntukan bina kolej

MISDEC adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat peruntukan daripada Kementeria­n Sumber Manusia serta Kerajaan Melaka untuk membina kolej kemahiran industri dengan RM4.5 juta diperuntuk­kan bagi tujuan latihan.

Siasatan sebelum ini mendapati tiada sebarang latihan dilaksanak­an oleh pusat itu sehingga kini, malah kedua-dua suspek dipercayai menubuhkan pula sebuah syarikat dan memindahka­n hampir semua wang MISDEC ke akaun syarikat terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki yang mengesahka­n penahanan dua beranak berkenaan, berkata pasukan penyiasat SPRM masih dalam proses mengumpul bukti.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi serta penjara sehingga 20 tahun.

SPRM dijangka membawa dua suspek berkenaan ke Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini untuk memohon perintah reman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia