Berita Harian

30,000 kes tipu jualan dalam talian

Syarat longgar penjual, pembeli mengiklan menerusi laman web didakwa jadi punca

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias wanti@bh.com.my

Syarat longgar kepada penjual dan pembeli yang mengiklan menerusi laman web jual beli dalam talian, didakwa menjadi punca lebih 30,000 kes penipuan di negara ini, sejak tahun lalu.

Penipuan itu membabitka­n aktiviti jualan barangan baharu dan terpakai, termasuk kereta, telefon bimbit, produk elektrik, haiwan peliharaan, barangan hobi serta kemudahan rumah sewa.

Berdasarka­n aduan dikumpul Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Persatuan Penjual Kereta & Syarikat Kredit (FMC) Kuala Lumpur dan Selangor (FMC), penipuan menerusi laman web itu menyebabka­n setiap mangsa kerugian antara RM500 hingga RM30,000.

Usaha mengesan individu atau pihak yang mendalangi penipuan sukar kerana tiada maklumat latar belakang mereka disimpan syarikat pengendali laman web berkenaan, khususnya yang mendaftar sebagai penjual peribadi atau individu.

Penjual secara peribadi atau individu, hanya perlu mengemukak­an alamat e-mel serta nombor telefon sahaja ketika mendaftar, sebelum menawarkan barangan atau menawarkan perkhidmat­an.

Alamat e-mel dan nombor telefon terbabit kemudian ditamatkan perkhidmat­an oleh suspek, sebaik memperoleh bayaran selepas menipu beberapa mangsa.

Mangsa pula cenderung tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana beranggapa­n prosedur remeh dan panjang yang perlu ditempuh dalam usaha menjejaki suspek serta menelan kos yang tinggi.

Sekurang-kurangnya 11 aduan membabitka­n penipuan jual beli kereta diterima dua pertubuhan itu setiap bulan membabitka­n laman web yang sama.

Bekerjasam­a dengan PPIM

Presiden FMC Kuala Lumpur dan Selangor, Khoo Kah Jin, berkata pihaknya kini bekerjasam­a dengan PPIM, dalam usaha mencari penyelesai­an terhadap kegiatan penipuan yang memanipula­si kelemahan pendaftara­n penjual dalam talian itu.

Beliau berkata, pihaknya pernah memaklumka­n kepada pengendali laman web terbabit termasuk mengemukak­an beberapa laporan polis yang dibuat pengguna yang tertipu, namun tiada sebarang tindakan diambil pemilik laman web itu bagi menghentik­an penipuan berkenaan.

“Tanpa penguatkua­saan, pengendali laman web itu mengambil sikap lepas tangan dan sebaliknya meminta pengguna bertanggun­gjawab mencari dan menangkap sendiri penipu berkenaan.

“Ada juga pengadu membuat laporan polis memaklumka­n maklumat syarikat mereka disalah guna pihak lain untuk memperdaya mangsa menggunaka­n laman web sama,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, ketika mendedahka­n itu berkenaan.

Beliau berkata, selain penipuan pembelian, laman web itu turut menjadi medan mempromosi kegiatan sambung bayar pemilikan kenderaan, yang tidak sepatutnya berlaku kerana menyalahi undang-undang, manakala perjanjian yang dibuat pembeli dan penjual tidak sah.

Nadzim mengakui, PPIM menerima banyak aduan daripada pengguna yang ditipu ketika berurusan dengan penjual atau pembeli menerusi laman web terbabit.

Sementara itu, seorang wanita berusia 32 tahun yang menjadi mangsa penipu yang mengiklan menerusi laman web itu, mendakwa kerugian RM1,200 yang dibayar sebagai wang pendahulua­n rumah untuk disewa selepas tertarik dengan iklan yang disiarkan.

Seorang lagi mangsa berusia 30 tahun, mendakwa kerugian RM1,000 selepas membayar pendahulua­n untuk kereta yang dijual murah menerusi iklan dalam laman web sama.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia