Berita Harian

Budak mati disyaki didera pernah 3 kali masuk hospital

Polis hanya klasifikas­i kes bunuh selepas dapat laporan bedah siasat

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Polis akan hanya mengklasif­ikasikan kes kanakkanak lelaki yang meninggal dunia dipercayai akibat didera sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan bedah siasat.

Muhamad Al Fateh Abdullah, 21 bulan, yang bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), menghembus­kan nafas terakhir jam 12.45 tengah hari semalam selepas enam hari bertarung nyawa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat daripada HSNI.

Katanya, HSNI dijangka melakukan bedah siasat ke atas jenazah kanak-kanak lelaki itu pagi esok.

“Buat masa ini, siasatan kes masih diteruskan. Polis juga akan menahan anak sulung keluarga angkat kanak-kanak lelaki yang berusia 14 tahun dalam masa terdekat selepas kedua ibu bapanya yang berusia 34 dan 30 tahun direman, kelmarin.

“Polis juga berjaya mengesan ibu kandung kanak-kanak lelaki itu yang sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi memberi keterangan.

Ibu kandung menghilang­kan diri

“Ibu kanak-kanak lelaki itu yang sebelum ini tinggal bersama keluarga angkatnya di Rengit, menghilang­kan diri sejak setahun lalu dan meninggalk­an anak lelakinya di bawah jagaan keluarga itu,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, hasil semakan rekod HSNI mendapati kanakkanak itu sudah tiga kali dimasukkan ke HSNI akibat pelbagai komplikasi kesihatan termasuk sawan sehingga tidak sedarkan diri dan disyaki wujud unsur penderaan apabila terdapat beberapa kesan kecederaan lama dan baru pada tubuh mangsa.

Pemeriksaa­n terhadap tubuh mangsa juga mendapat ada kesan kulit melecur di telapak tangan kanan dan kiri serta bahagian telapak kaki kanan.

Sementara itu, ibu mangsa, Nisha Abdullah, 22, ketika dihubungi mengakui masih lagi terkejut dan tidak percaya apabila polis memaklumka­n yang anak lelaki kesayangan­nya itu sudah meninggal dunia.

“Saya kini berada di IPD Batu Pahat untuk memberi keterangan selepas dimaklumka­n anak saya sudah meninggal dunia. Maaf saya masih lagi dalam keadaan terkejut dan belum bersedia memberi kenyataan kepada media,” katanya ringkas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia