Berita Harian

Mahkamah arah bekas penarik kereta membela diri

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, sekali lagi memerintah­kan seorang bekas penarik kereta, membela diri atas tuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (Ambank), Hussain Ahmad Najadi, empat tahun lalu.

Kong Swee Kwan, 49, turut diperintah membela diri atas tuduhan cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mui Kuen, 53.

Pesuruhjay­a Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan menerusi Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah berjaya membuktika­n prima facie terhadap tertuduh.

17, 25 Ogos peluang Swee Kwan bela diri

Ab Karim kemudian menetapkan 17 dan 25 Ogos ini untuk Swee Kwan membela diri sama ada dengan mengemukak­an keterangan bersumpah dari kandang saksi, keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh, yang mewakili tertuduh menyatakan anak guamnya memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Swee Kwan, dituduh membunuh Hussain di tempat letak kereta tokong cina Kuan Yin dekat Lorong Ceylon, di sini, antara jam 1.30 tengah hari hingga 2 petang, pada 29 Julai 2013.

Pendakwaan terhadapny­a dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Swee Kwan turut dituduh cuba membunuh isteri mangsa, di tempat, waktu dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Pada 5 September 2014, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Azman Husin, mensabit dan menjatuhka­n hukuman gantung sampai mati terhadap Swee Kwan bagi kesalahan membunuh serta hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan cuba membunuh isteri Hussain.

Bagaimanap­un, Mahkamah Persekutua­n pada 14 Disember 2016, mengetepik­an sabitan terhadap Swee Kwan dan memerintah­kan supaya kes dikembalik­an ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraa­n semula.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia