Berita Harian

Kanak-kanak 5 tahun jadi mangsa keempat

Budak perempuan meninggal selepas enam hari dirawat di Hospital Umum Sarawak

- Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

Jangkitan anjing gila atau rabies di Sarawak terus meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun semalam, menjadikan jumlah keseluruha­n yang maut akibat wabak berkenaan meningkat kepada empat orang.

Florencesi­a Edward dari Kampung Ampungan, Serian, disahkan meninggal dunia pada jam 2.05 petang semalam, di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas enam hari berada di Unit Jagaan Rapi Kanakkanak (PICU).

Ada sejarah gigitan anjing

Mangsa dipercayai mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei lalu di Kampung Soroban, 10 kilometer dari kawasan kes ketiga rabies direkodkan berlaku.

Jawatankua­sa Sekretaria­t Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JSPBNS) dalam kenyataann­ya berkata, kes kematian baharu menjadikan jumlah keseluruha­n mangsa maut kepada empat orang selepas Monica Mazlan, 6, dan adiknya, Jackson 4, dari Kampung Paon Rimu Bakung, Serian, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu pada 4 Julai

Pada 13 Julai lalu, kanak-kanak perempuan, Alicesa Lorenna Nody, 7, dari Kampung Lebor, Gedong, Serian, turut maut selepas 16 hari berada di PICU HUS.

“Sebanyak 97 kes gigitan dikesan berlaku bermula 2 Julai hingga hari ini (semalam) dengan 24 kes baharu. Ini menjadikan keseluruha­n bilangan kes gigitan anjing dari 1 April hingga ke hari ini (semalam) berjumlah 368 kes.

“JSPBNS mengingatk­an pemilik anjing tidak melepaskan dan tidak bermain dengan haiwan kesayangan mereka walaupun sudah divaksin,” katanya.

7,655 haiwan diberi vaksin

Katanya, sehingga kini Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) sudah memberi vaksin kepada 7,655 ekor haiwan membabitka­n 2,205 anjing dan 5,424 kucing serta 26 haiwan lain.

“Operasi bersepadu dikendalik­an Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bersama JPVS setakat ini sudah menangkap 73 anjing liar di sekitar bandar Serian.

“JPVS juga sudah mengadakan 69 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit rabies di kawasan berkenaan yang dihadiri 4,952 penduduk kampung dan pelajar sekolah,” katanya.

 ?? [FOTO EKHWAN HAQUE FAZLUL HAQUE/BH] ?? Kakitangan hospital menolak troli mayat Florencesi­a (gambar kiri) dari Kampung Ampungan, Serian yang disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak, petang semalam.
[FOTO EKHWAN HAQUE FAZLUL HAQUE/BH] Kakitangan hospital menolak troli mayat Florencesi­a (gambar kiri) dari Kampung Ampungan, Serian yang disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak, petang semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia