Berita Harian

Mukim Matang diwartakan kawasan wabak

-

Ipoh: Mukim Matang di daerah Larut Matang Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan wabak anjing gila atau rabies oleh Kerajaan Perak susulan satu kes dilaporkan di kawasan itu pada 4 Julai lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pengisytih­aran wabak penyakit anjing gila itu diwartakan mengikut Subseksyen 39 (1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) berkuat kuasa semalam.

Katanya, arahan itu memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (JPV) mengambil tindakan sewajarnya di kawasan berkenaan termasuk menghalang pergerakan anjing keluar dan masuk di kawasan itu.

“Pemilik pemilik atau orang yang terbabit mengawal anjing dalam kawasan dijangkiti perlu memastikan anjing dikawal baik dengan mengurungn­ya dalam kawasan tertutup dan sesuai serta mengikat anjing dengan selamat.

Guna tali pengikat sesuai

“Jika dibawa keluar dari kawasan perumahan, mereka perlu menggunaka­n tali pengikat yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidanga­n Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu dalam laporan Ketua Audit Negara di sini, semalam.

Zambry berkata, pewartaan itu dikeluarka­n susulan kejadian dua kanak-kanak perempuan berusia 11 dan 12 tahun yang digigit anjing peliharaan keluarga mereka pada 4 Julai lalu.

Katanya, kes itu dikesan apabila seorang pemilik anjing membuat laporan pada Khamis lalu mengenai anjing dipelihara­nya mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya di Kuala Sepetang sebelum pemeriksaa­n mengesahka­n anjing itu dijangkiti rabies.

Sementara itu, ibu kepada seorang kanak-kanak terbabit yang mahu dikenali sebagai Madam Ooi, 40, berkata dua kanak-kanak itu sihat dan meneruskan sesi persekolah­an seperti biasa semalam.

“Kedua-duanya tidak dimasukkan ke wad, sebaliknya menerima rawatan susulan di Hospital Taiping dan kedua-duanya akan diberi suntikan Rabu ini (esok) di hospital berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, doktor veterinar yang memeriksa bangkai anjing jantan peliharaan­nya itu memaklumka­n haiwan itu mengalami kesan gigitan di bahagian kemaluan.

“Mungkin anjing saya diserang anjing lain kerana sebelum ini anjing itu tidak menunjukka­n sebarang tanda penyakit lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sepetang semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Melaka dan Perak.

Katanya, mangsa dalam keadaan stabil kerana tiada gejala klinikal ditunjukka­n selepas diberikan rawatan pesakit luar membabitka­n kedua-dua kes.

“Jabatan Kesihatan Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama sedang melaksanak­an aktiviti kawalan serta pencegahan.

“Ia termasuk aktiviti pengesanan kes gigitan anjing di kawasan terbabit bagi tujuan rawatan dan pemantauan lanjut.

“Bagi kes gigitan anjing di Melaka membabitka­n kanak-kanak lelaki berumur enam tahun, mangsa dimasukkan ke wad Hospital Melaka kerana mempunyai sejarah digigit anjing di Serian, Sarawak tetapi ujian awal makmal rabies adalah negatif,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia