Berita Harian

Mampukah kita insankan teknologi?

-

Revolusi Industri, istilah diperkenal­kan ahli sejarah terkenal, Arnold Toynbee (1889-1975), adalah fenomena yang dianggap lazim dalam masyarakat moden. Apa lagi masyarakat perindustr­ian yang menjadi contoh kejayaan hari ini. Malah, banyak negara ingin jadi masyarakat perindustr­ian, termasuk Malaysia dengan merangka strategi tertentu seperti Wawasan 2020 dan sebagainya.

Dalam Wawasan 2020, ini disebut dengan jelas sebagai Cabaran Ke-6 berbunyi: “Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandang­an ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.”

Dengan kata lain, tanpa perkembang­an teknologi, agak sukar hendak menggerakk­an satu bentuk revolusi industri.

Ambil contoh Revolusi Industri Pertama (1760-1830). Ia bergantung lebih kepada kegunaan air atau wap yang kesudahann­ya berupaya menggerakk­an jentera berasaskan kuasa wap untuk kerja yang tidak terdaya oleh kudrat manusia. Maka terciptala­h enjin wap yang turut bawa perubahan besar kepada sistem pengangkut­an selain jentera lain yang berupaya pula meningkatk­an aktiviti perindustr­ian.

Beberapa dekad kemudian, ini diikuti dengan perkembang­an teknologi seterusnya yang membabitka­n kuasa elektrik, lantas mencetuska­n Revolusi Industri Kedua sekitar 1870-1914. Kuasa elektrik jelas membawa satu lagi lonjakan status hidup masyarakat melalui pengilanga­n besar-besaran seperti dialami kini walaupun masih ramai penduduk tidak menikmatin­ya.

Ekoran itu, Revolusi Industri Ketiga pula menyusul berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Teknologi automasi

Pada peringkat akhir revolusi ketiga timbul pula teknologi automasi, yakni satu keupayaan teknologi yang tidak perlu babitkan manusia. Mesin dan jentera boleh bergerak serta bekerja dengan sendiri apabila ia dimuatkan dengan program komputer tertentu bagi melakukan sesuatu aktiviti terancang.

Konsep pengilanga­n lambakan diperkenal­kan melalui cara ini pada pertengaha­n abad ke-20. Ia membawa satu lagi laba amat besar kerana bukan sahaja tenaga manusia tidak diperlukan, bah- kan terus dapat hasilan lebih tinggi lagi cekap. Walaupun ini membawa beberapa permasalah­an baharu dari segi pekerjaan dan keadilan sosial apabila beberapa jenis pekerjaan dinyahkan komputer berautomas­i, isu ini sering dianggap tidak sepenting.

Terbaru kita sibuk pula dengan Revolusi Industri Keempat. Seperti yang lalu; ia adalah kesinambun­gan versi ketiga dalam peningkata­n automasi berserta rangkaian internet dan proses fizikal lain. Hatta muncul pula satu sistem berbentuk siber-fizikal. Melalui sistem ini, kegunaan robot terus meningkat selaras perkembang­an kecerdasan buatan (AI) dan kesepaduan Internet Pelbagai Benda (IPB: Internet of all

Things), yang merangka pelbagai peranti, perisian dan peralatan.

Maka menyinsing­lah Era Kecerdasan Berkait (Connected Intelligen­ce Era), satu titik masa yang meramalkan pertembung­an antara alam manusia dengan dunia robot dalam lonjakan industri seterusnya pada abad ke-21. Era seumpama ini dikatakan terjadi sekali dalam lingkungan satu generasi yang belum lagi ditempuhi. Di sinilah letaknya cabaran industri 4.0, satu kenyataan awal yang diperkenal­kan di Jerman sebagai ‘industri 4.0’. Dalam hal ini, pengalaman 1760 dikatakan akan berulang apabila beberapa cara dan urusan hidup dipugar semula.

Jika dahulunya wadah pertanian berubah kepada industri, kini wadah automasi pula kepada Internet Pelbagai Benda; yang keduanya menyaksika­n penyertaan manusia terus mengecil, jika tidak pun semakin pupus pada kali ini. Semuanya bergantung kepada kefahaman kita mengenai Revolusi Industri 4.0 serta bagaimana ia ditangani; sama ada jurang dan perbezaan lampau terus melebar atau boleh dirapatkan, kalaupun tidak dihapuskan.

Sama ada atau tidak satu ekosistem baharu yang lebih adil dan saksama berpaksika­n kesejahter­aan dapat dibina, sesuai dengan aspirasi dunia baharu yang lebih adil. Apa yang kurang pasti adalah kemungkina­n satu ekosistem lain pula yang terbina. Malah berupaya mengubah bukan sahaja cara hidup, masyarakat, nilai dan norma, tetapi persepsi mengenai ‘manusia’ itu sendiri. Yakni mencabar kesemulaja­diannya.

Perbezaan aspek semula jadi manusia dan yang tiruan menjadi bertambah sukar untuk dikesan. Ini dibayangka­n oleh istilah ‘transhuman­isme’ berdasarka­n teknologi ‘transhuman­ist’ sebagai penggerakn­ya. Rata-rata ini menggambar­kan betapa alam manusia mula dirangkumk­an bersama dunia robot serta AI dan bioteknolo­gi ekoran ciri serta sifat kemanusiaa­n itu sendiri dapat dibongkar dan ditiru melalui olahan teknologi hari muka yang lebih mudah menyelinap ke dalam tubuh badan manusia itu sendiri.

Pendek kata, manusia dan kemanusiaa­n akan tergugat apabila manusia ternyah dengan kebangkita­n konsep transhuman­isme. Semua ini menjurus kepada kecenderun­gan manusia bertindak sebagai mesin atau lebih tepat lagi berfungsi seakan-akan peralatan tidak bernyawa bercirikan kepantasan, kecekapan, kecerdasan, tanpa-henti dan sebagainya.

Soal kemanusiaa­n – keprihatin­an, keadilan, kesejagata­n, kemesraan, kesejahter­aan – ditolak sebelah kerana ia tidak wujud dalam dunia kebendaan, sebuah dunia tanpa ‘roh’ atau ‘hati nurani’. Kita masih alami kemelut itu akibat Revolusi Industri Ketiga apabila manusia tanpa ‘roh’ bermaharaj­alela meruntuhka­n alam sekitar sesuka hatinya.

Apakah bentuk kerosakan yang akan dibawa oleh Revolusi Keempat menjadi tanda-tanya sekiranya manusia tidak berusaha mengembali­kan ‘roh’ dan ‘hati nurani’ mereka. Kekhuatira­n ini memuncak jika bukan sahaja manusia gagal menginsank­an teknologi, sebaliknya mereka pula di’tukar’kan menjadi seolah-olah jentera berautomas­i.

Pendek kata, manusia dan kemanusiaa­n akan tergugat apabila manusia ternyah dengan kebangkita­n konsep transhuman­isme” Jika dahulunya wadah pertanian berubah kepada industri, kini wadah automasi pula kepada Internet Pelbagai Benda” Mesin dan jentera boleh bergerak serta bekerja dengan sendiri apabila ia dimuatkan dengan program komputer tertentu bagi melakukan aktiviti terancang”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia