Berita Harian

Siasatan tumpu lebihan RM78.4 juta tak dilapor

Pegawai SPRM ambil masa 8 jam periksa dokumen berkaitan kes

- Oleh Siti Azila Alias

Siasatan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas FELDA Investment Corporatio­n (FIC), memfokuska­n kepada lebihan pembayaran 14 juta pound sterling (RM78.4 juta) daripada pembelian sebuah hotel bertaraf empat bintang di Kensington, London, oleh syarikat itu.

Difahamkan, dalam proses pembelian hotel bernilai RM330 juta pada 2013 hingga 2015, ada lebihan wang berjumlah jutaan ringgit yang tidak dilaporkan selepas urus niaga selesai.

Siasatan itu untuk mengenal pasti ke mana wang berkenaan dilaburkan, untuk tujuan apa atau disimpan pihak tertentu.

Semalam, lapan pegawai SPRM hadir ke pejabat FIC di Balai FELDA di Jalan Gurney di sini, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk memeriksa dan mengambil dokumen serta melakukan siasatan ke atas FIC.

Sumber berkata, SPRM membuka semula kertas siasatan itu selepas menerima maklumat terbaru terhadap pelaburan yang membabitka­n harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Siasatan kini lebih menjuruska­n kepada lebihan wang hasil pembelian hotel itu yang dianggarka­n £14 juta pound sterling.

“Hotel itu dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada harga sebenar dan sudah tentu mempunyai lebihan pelaburan dengan jumlah tertentu.

SPRM kumpul bukti

“Kita sedang menyiasat di mana wang itu ‘berada’ atau dilaburkan menggunaka­n kaedah tertentu, termasuk membabitka­n pengubahan wang haram," kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata SPRM kini sedang mengumpul bukti termasuk dokumen penting daripada FIC.

“Pegawai SPRM menyerbu pejabat FIC untuk tujuan itu hari ini (semalam) dan semakan sedang dilakukan untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

Sementara itu, sepasukan lapan pegawai SPRM hadir di Balai FELDA di Jalan Gurney, di sini, jam 10.20 pagi semalam bagi melakukan siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan.

Mereka yang tiba dengan menaiki dua kenderaan, terus ke pejabat FIC yang terletak di tingkat empat bangunan berkenaan sebelum beredar pada jam 5.45 petang, dengan membawa bersama tiga kotak berwarna kuning dan dua beg bagasi dipercayai mengandung­i dokumen berkaitan FIC.

Dalam pada itu, FIC dalam satu kenyataan mengesahka­n kehadiran lapan pegawai SPRM ke pejabat FIC untuk menyiasat pembelian hotel di London.

Katanya, FIC memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.

“FIC komited memberikan sokongan terhadap usaha pihak berkaitan dalam meningkatk­an ketelusan, akauntabil­iti, integriti serta amalan etika perniagaan yang menjadi kunci kepada tadbir urus korporat yang baik,” katanya.

Baru-baru ini, SPRM memaklumka­n beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC.

 ?? [FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL/BH] ?? Sepasukan pegawai penyiasat SPRM membawa beberapa dokumen dan beg berkaitan pembelian sebuah hotel empat bintang oleh FIC di Kensington, London keluar dari Balai Felda, Jalan Gurney, semalam.
[FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL/BH] Sepasukan pegawai penyiasat SPRM membawa beberapa dokumen dan beg berkaitan pembelian sebuah hotel empat bintang oleh FIC di Kensington, London keluar dari Balai Felda, Jalan Gurney, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia