Berita Harian

Pos Tohoi terputus hubungan

Jambatan kayu hubung ke Kampung Kuala Betis runtuh

- Oleh Ramli Ibrahim

Lebih 500 penduduk Orang Asli di Pos Tohoi, dekat sini, terputus hubungan apabila jambatan kayu sementara menghubung­kan Kampung Kuala Betis ke pos terbabit runtuh sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Orang Asli (JKKKOA), Pos Tohoi, Zainal Cali, berkata jalan darat bagi melalui jambatan terbabit juga rosak dan berlumpur kerana hujan sehingga sukar dilalui semua jenis kenderaan.

Beliau berkata, jambatan termasuk jalan terbabit terbiar sejak tahun lalu selepas krisis membabitka­n sebahagian penduduk Orang Asli dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan yang mengadakan sekatan di kampung terbabit.

Katanya, sebelum ini kerosakan jambatan dan jalan berkenaan diselengga­ra oleh pembalak yang melalui laluan terbabit, namun selepas berlaku krisis antara keduadua pihak, jalan berkenaan terus terbiar.

“Keadaan sekarang ini sukar untuk penduduk dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi untuk berulang alik mengguna laluan berkenaan kerana jambatan runtuh dan jalan berlumpur.

Menyusahka­n penduduk

“Penduduk juga sudah beberapa kali mengadakan gotong-royong membina jambatan kayu sementara tetapi tidak bertahan lama dan runtuh semula,” katanya ketika ditemui, semalam.

Zainal mengakui, krisis antara sebilangan kecil penduduk Orang Asli dengan jabatan itu yang mengadakan sekatan pembalakan memberi kesan buruk kepada jalan perhubunga­n.

Beliau berkata, kini kerja pembalakan sudah dihentikan sehingga tidak ada siapa lagi yang hendak melakukan kerja selenggara jalan terbabit.

“Kami sedih dengan keadaan yang berlaku itu kerana ia boleh menyusahka­n semua pihak termasuk guru sekolah yang berulang alik,” katanya.

Seorang penduduk Orang Asli, Shariff Angah, 51, berkata jalan ke Pos Tohoi sepatutnya dinaik taraf sebagai jalan berturap kerana ia adalah laluan penting ke SK Tohoi.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya jalan diselengga­ra dengan membina jalan batu kasaran supaya mudah dilalui semua kenderaan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia