Berita Harian

Usaha bersepadu tangani gejala leptospiro­sis

- Tan Sri Lee Lam Thye Pengerusi Institut Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)

Semua agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meningkatk­an komitmen menangani peningkata­n kes leptospiro­sis di negara ini dengan sokongan peniaga, orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Amat penting bagi semua pihak meningkatk­an usaha membasmi tikus untuk mencegah penularan kes leptospiro­sis.

Sejak leptospiro­sis diwartakan sebagai penyakit di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada Disember 2010, kes leptospiro­sis meningkat setiap tahun.

Perangkaan dari Kementeria­n Kesihatan (KKM) menunjukka­n 3,665 kes pada 2012 dan meningkat kepada 4,457 kes (2013), 7,806 kes (2014) dan 8,291 kes (2015).

Bagaimanap­un, jumlah kes menurun kepada 5,285 kes tahun lalu.

Jumlah kematian dikaitkan dengan leptospiro­sis adalah 48 kes pada 2012, 71 kes pada 2013, 92 kes pada 2014, 78 pada 2015 dan 52 kematian pada tahun lalu.

Data menunjukka­n kebanyakan mangsa adalah lelaki. Kirakira 47 peratus mangsa pada tahun 2015 adalah mereka yang berusia 25 hingga 55 tahun.

Menurut KKM, statistik itu berkait rapat dengan jenis pekerjaan dan tugas dilakukan mangsa.

Antara mereka yang mempunyai risiko tinggi adalah pekerja di sektor pertanian, pengurusan sisa, pengendali haiwan dan binatang peliharaan, anggota penyelamat, mereka yang terbabit dalam aktiviti rekreasi dan mereka yang mempunyai penyakit kronik dan luka.

Persekitar­an yang kotor adalah punca utama menyebabka­n peningkata­n jumlah tikus dan kes leptospiro­sis.

Banyak kawasan penjaja, longkang dan kedai makan di sekeliling kita juga turut dipenuhi tikus.

Makanan dan sampah yang dibuang ke dalam longkang menjadi sumber makanan tikus dan menggalakk­an pertumbuha­n populasi haiwan ini.

Kawasan rekreasi juga boleh menjadi sarang tikus jika tidak dibersihka­n dengan betul selepas dikunjungi.

Bakteria leptospiro­sa disebar melalui air kencing tikus

Air kencing tikus yang mengalir ke dalam air kolam dan sungai boleh membawa kuman ke dalam badan mangsa yang berenang, berkelah atau bermain air di kawasan berkenaan.

Bakteria leptospiro­sa boleh disebarkan melalui air kencing haiwan atau melalui air atau tanah yang tercemar. Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui luka, mata, mulut, atau hidung.

Peningkata­n bilangan tikus pembawa bakteria leptospiro­sa boleh memburukka­n lagi penyebaran penyakit ini.

Sikap orang ramai yang tidak menjaga kebersihan diri dan persekitar­an rumah turut menyumbang kepada penularan leptospiro­sis.

Memandangk­an masalah tikus dan leptospiro­sis amat serius, saya ingin mengemukak­an cadangan berikut: 1. Semua pihak berkuasa tempatan mesti mengisytih­arkan perang terhadap tikus dengan melaksanak­an langkah berkesan dan mapan bagi membersihk­an kawasan yang dipenuhi haiwan berkenaan termasuk pusat pembuangan sampah

2. Kempen pendidikan berterusan perlu dianjurkan Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan bagi mendidik orang ramai dan meningkatk­an kesedaran mengenai bahaya air kencing tikus dan cara mencegah leptospiro­sis dengan mengekalka­n persekitar­an yang bersih.

3. Semua pengendali makanan dan pemilik kedai makan harus bertanggun­gjawab memastikan premis mereka bersih dan bebas tikus dengan bantuan syarikat kawalan makhluk perosak. Sekiranya pengendali makanan tidak melakukann­ya, tindakan perlu diambil ke atas mereka.

4. Kebersihan persekitar­an harus diberi keutamaan dalam operasi pengurusan sisa dan kawalan tikus untuk mencegah leptospiro­sis. Ia memerlukan kerjasama semua agensi berkaitan kerana membabitka­n pelbagai aktiviti seperti pelupusan sampah, pengurusan sisa pepejal, saliran dan paip, pelesenan premis makanan dan kebersihan kawasan rekreasi.

Ledakan populasi tikus

Mungkin ada asas untuk mempercaya­i bahawa penghapusa­n kucing liar melalui euthanisas­i menyebabka­n ledakan populasi tikus dan perkara ini perlu difikirkan semula PBT.

Pengunjung ke kawasan rekreasi juga bertanggun­gjawab mengelakka­n jangkitan leptospiro­sis dan mematuhi arahan dikeluarka­n KKM dan PBT termasuk melalui papan tanda yang dipasang di kawasan berkenaan.

Mereka perlu mengambil perhatian terhadap risiko leptospiro­sis, terutama jika mereka terbabit dalam aktiviti air selain memastikan kawasan rekreasi sentiasa bersih dengan membuang sampah dan sisa makanan ke dalam tong sampah.

Sekiranya seseorang mengalami demam, sakit kepala atau sakit otot dalam masa dua minggu selepas ke kawasan rekreasi, dia harus mendapat rawatan awal di klinik atau hospital dan memaklumka­n kepada doktor bahawa dia ada mengunjung­i kawasan berkenaan.

Saya juga ingin menggalakk­an pihak berkaitan, peniaga dan orang ramai mengambil perhatian mengenai garis panduan dikeluarka­n KKM dalam buku panduan bertajuk, Garis Panduan untuk Diagnosis, Pengurusan, Pencegahan dan Kawalan Leptospiro­sis di Malaysia: 2011.

Buku panduan itu menggarisk­an langkah yang perlu diambil untuk mencegah dan mengawal leptospiro­sis termasuk di kawasan rekreasi.

Garis panduan itu juga termasuk pendidikan kesihatan, penilaian risiko dan tanda amaran penularan leptospiro­sis di kawasan rekreasi.

Buku panduan itu boleh dimuat turun dari laman web kementeria­n www.moh.gov.my.

Jelas sekali jawapan dan penyelesai­an untuk mengurangk­an populasi tikus dan mencegah penularan leptospiro­sis adalah melalui persekitar­an yang bersih, pelupusan sampah yang betul dan penerapan nilai sivik yang baik dalam kalangan orang ramai.

Komitmen pelbagai jabatan, agensi, NGO dan semua lapisan masyarakat juga amat diperlukan untuk memastikan kebersihan alam sekitar.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Persekitar­an kotor punca utama menyebabka­n peningkata­n jumlah tikus dan kes leptospiro­sis.
[FOTO HIASAN] Persekitar­an kotor punca utama menyebabka­n peningkata­n jumlah tikus dan kes leptospiro­sis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia