Drogba, Makelele punca Bakayoko sertai Chelsea
London: Pemain baharu Chelsea, Tiemoue Bakayoko menyanjung tinggi dua bekas bintang pasukan itu Didier Drogba dan Claude Makelele yang memberi pengaruh besar dalam kariernya.
Bakayoko menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Monaco dengan nilai perpindahan 40 juta pound sterling (RM224 juta) dan sudah menyatakan beberapa perkara yang menggembirakan penyokong.
Pemain tengah itu menjadikan Makelele sebagai idolanya yang kini menjawat jawatan selaku pembantu jurulatih Swansea City dan pernah meraih dua gelaran liga dan tiga piala di Stamford Bridge.
Makelele yang sebelum ini menjadi pengarah teknikal pasukan Monaco menjadi mentor kepada pemain berusia 22 tahun untuk dia mengembangkan bakatnya daripada prospek menjadi seorang bintang
Drogba beri inspirasi
“Makelele banyak membantu saya,” kata Bakayoko menerusi laman rasmi pasukan itu yang disiarkan Daily Mail semalam.
“Ketika dia tiba di Monaco, saya bukanlah seorang pemain yang bagus. Tetapi saya mengadakan banyak perbincangan dengannya dan dia memberi nasihat kepada saya.
“Nasihatnya membolehkan saya bermain dengan cara saya yang lebih mudah.”
Drogba yang juga adalah salah seorang pemain terbaik pasukan The Blues itu turut memberi inspirasi kepada pemain tengah Perancis itu.
“Drogba memiliki karier yang menakjubkan dan melakukan banyak perkara yang hebat. Pada mulanya bersama Marseille dan kemudiannya di sini.
“Dia adalah contoh yang menjadi ikutan saya sama ada sebagai pemain bola sepak dan individu. Dia membuktikan siapa dirinya kepada dunia dan saya mengagumi apa yang dicapai olehnya.”