Berita Harian

Kasma beri bayangan berlumba di Moto3

- Oleh Sukhairi Thani

Kuala Lumpur: Pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia CEV Repsol, Kasma Daniel Kasmayudin memberi bayangan mengenai penampilan sulungnya dalam kelas Moto3 dunia di Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang, Oktober ini.

Kasma berkata, dia mungkin menyertai perlumbaan di Sepang atas tiket wildcard andai dirinya mampu memperbaik­i prestasiny­a di Sepanyol yang kini berbaki empat pusingan saja lagi.

“Tahun ini saya akan beraksi di Sepang,” kata Kasma yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Racing itu kepada BH Sukan. “PETRONAS mahu saya beraksi di Sepang.

“Saya sudah mempunyai ‘tiket’ untuk beraksi (GP Malaysia), cuma buat masa ini saya hanya perlu menunjukka­n keputusan yang lebih baik di CEV.”

Daripada empat pusingan yang sudah berlangsun­g ketika ini, penamat terbaik Kasma adalah berada di kedudukan ke-17 di Perlumbaan 2 di Barcelona, Jun lalu dan ke-21 di pusingan pembuka tirai musim di Albacete pada April.

Trek lama

Bagi menyalakan lagi peluang ke Sepang, pelumba 17 tahun itu harus pantas bangkit mempamerka­n tunggangan yang lebih positif bermula dari Pusingan 5 yang dijadual berlangsun­g di Circuito de Estoril, hujung minggu ini.

“Estoril adalah trek yang lama dan kebanyakan pelumba masih belum pernah beraksi di sini,” katanya. “Jadi ia mungkin memberi sedikit kelebihan dan sekiranya motosikal saya berada dalam keadaan baik maka saya dapat melakukan yang lebih baik.

“Apapun, bermula Jumaat ini saya akan cuba mengenali trek ini dengan lebih pantas bagi mencari rentak dan pelarasan yang diperlukan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia