Berita Harian

Masa depan Sarjit samar

PHT dikatakan enggan tawar kontrak baharu

- Oleh Naqib Nor Said

Masa depan jurulatih Sarjit Singh bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) mungkin sudah berakhir apabila desas-desus Persatuan Hoki Terengganu (PHT) enggan menawarkan kontrak baharu kepadanya.

Khabar angin berkenaan bertambah kuat apabila juara bertahan Piala TNB itu kini dikatakan hangat memburu beberapa jurulatih lain daripada pasukan utama Liga Hoki Malaysia (MHL).

Pengurus THT, Zaki M Noor ketika dihubungi bagaimanap­un menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan perkara itu masih dalam perbincang­an pada peringkat jawatankua­sa PHT.

“Kita belum putuskan sama ada mahu menawarkan Sarjit kontrak sambungan atau tidak, tetapi lebih baik presiden ulas mengenai isu ini.

“Malah ia masih dalam peringkat perbincang­an dan kita tidak menolak selain Sarjit beberapa nama jurulatih lain juga disebut pada mesyuarat persatuan baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Gaji jalan

Sepanjang empat musim di Kuala Terengganu, Sarjit berjaya membantu THT mendominas­i saingan Piala TNB empat tahun berturut-turut selain turut memenangi tiga gelaran liga (2014, 2015 dan 2016).

Isu membabitka­n Sarjit ini bukannya baru apabila difahamkan kontraknya bersama THT sudah tamat sejak April 2016.

Namun, khidmatnya terus ditagih sehingga berakhir saingan liga Mac lalu ketika gajinya terus berjalan seperti biasa tanpa perjanjian kontrak yang tetap selama setahun.

Bagaimanap­un, timbul keraguan terhadap masa depannya kali ini apabila dikatakan terdapat beberapa Exco PHT yang mahukan jurulatih baharu dengan sebilangan lain berharap Sarjit terus dikekalkan.

Antara nama jurulatih yang menjadi sebutan ditawarkan peluang mengemudi THT bagi musim depan adalah jurulatih TNB Muhamad Amin Rahim, Arul Selvaraj (UNIKL) dan Paul Lissek (Pakar perunding THT).

Bekas pengendali negara, Paul Revington juga didedahkan menjadi pilihan, namun PHT terpaksa melupakan hasrat itu selepas pengendali daripada Afrika Selatan terbabit memilih untuk menjadi ketua jurulatih pembanguna­n Great Britain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia