Berita Harian

Perak tekad ‘toreh’ FELDA United

- Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Pendahulu Kumpulan B, Perak berharap meneruskan rentak kemenangan apabila turun bertemu FELDA United FC di Stadium Tun Razak, Jengka dalam kancah Piala Malaysia, malam ini.

Selepas meraih dua kemenangan ke atas PKNS FC dan Kuala Lumpur, jurulatih Mehmet Durakovic mengintai kemenangan ketiga malam ini bagi mengukuhka­n kedudukan untuk melangkah ke suku akhir.

“Selepas dua kemenangan, saya harap rentak itu dapat diteruskan bagi menguatkan cengkaman pasukan ke suku akhir.

“Lagipun, keyakinan pemain ketika ini tinggi dan mereka bermain baik sejak aksi bersambung selepas rehat panjang,” katanya semalam.

Jurulatih itu juga yakin anak buahnya sudah bersedia untuk berhadapan cabaran skuad bimbingan B Sathianath­an yang semakin menunjuk kebangkita­n.

Perjalanan darat

Perak tampil berbekal kejayaan 2-0 ke atas Kelantan dalam aksi Liga Super Sabtu lalu dan Mehmet berharap anak didiknya mampu mengulangi persembaha­n sama.

Walaupun dihimpit masalah kecederaan beberapa pemain seperti Shahrul Saad, Amirul Azahan dan Leandro Dos Santos, jurulatih itu berharap mereka sempat pulih menjelang perlawanan itu.

“Pemain juga keletihan selepas membuat perjalanan darat selama lapan jam dari Kota Bharu. Saya harap pemain kembali segar untuk menghadapi perlawanan selepas berehat,” katanya.

Namun jurulatih itu sedar, tuan rumah yang meraih empat mata juga turun dengan azam mengutip mata penuh untuk merapatkan kedudukan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam saingan Liga Super pusingan pertama di Jengka dengan perlawanan berkesudah­an seri 2-2.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia