Berita Harian

Selangor tekad jerat JDT

Maniam gembira kepulangan Amri, Andik, Razman

- Oleh Syafiq Aznan

Juara 33 kali, Selangor bakal tampil dengan aksi yang berbeza ketika turun melayan kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembung­an tumpuan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandara­n Selayang, malam ini.

Pengendali­nya, P Maniam berkata dia kini boleh merancang strategi yang lebih ampuh susulan kembalinya tiga tonggak daripada penggantun­gan iaitu Amri Yahyah, Andik Vermansyah dan Razman Roslan yang tidak diturunkan ketika terikat 1-1 bertemu Kedah pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Bagaimanap­un, bekas jurulatih Air Asia FC itu mengingatk­an anak buahnya supaya berwaspada dengan skuad bimbingan Ulisses Morais itu yang sudah pasti akan memberikan cabaran yang paling sukar buat mereka terutamany­a dengan kualiti pemain yang dimiliki pasukan itu.

“Saya akui JDT pasukan yang lebih baik terutamany­a kombinasi antara pemain import dan pemain tempatan yang menunjukka­n prestasi yang cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Enggan tangisi

“Namun, moral pasukan berada dalam keadaan baik dan momentum yang diraih dalam dua perlawanan sebelum ini akan diteruskan. Dengan disiplin serta pertahanan yang kemas dan usaha keras di atas padang, kita pasti akan dapat memberi tentangan kepada pasukan pelawat.

“Tambahan pula, dengan kehadiran tiga pemain yang kembali menyertai kami, ini akan memberikan ruang untuk saya merancang strategi yang lebih baik tetapi semuanya bergantung dengan prestasi pemain di atas padang,” katanya ketika dihubungi BH Sukan.

Kemenangan ke atas skuad Harimau Selatan itu akan membolehka­n juara Piala Malaysia 2015 itu mendahului Kumpulan D selepas mereka terikat empat mata dengan JDT yang hanya dibezakan dengan jaringan gol selepas mengharung­i dua aksi setakat ini.

Dalam masa sama, Maniam enggan menangisi ketiadaan pemain importnya, Rufino Segovia yang tidak dapat diturunkan kerana cedera.

“Kita tetap boleh beraksi meskipun tanpa Rufo seperti yang ditunjukka­n ketika bertemu Kedah minggu lalu, jadi saya sudah memikirkan pemain yang sesuai untuk menggantik­an posisi pemain tengah itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia