Berita Harian

KAJIAN DEDAH MAHASISWA TAK ANGGAP HADIAH WANG SEBAGAI RASUAH

28.1 peratus responden anggap tak salah ambil barangan pejabat untuk kegunaan peribadi

- Oleh Nazura Ngah

Kajian Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mendapati, kebanyakan mahasiswa menganggap menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmat­an sebagai balasan atas khidmat yang diberikan, bukan satu kesalahan rasuah.

Kegagalan memahami rasuah itu diperoleh menerusi Kajian Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah yang dijalankan INTEGRITI dalam kalangan mahasiswa beberapa universiti tempatan, baru-baru ini.

Kajian membabitka­n 402 mahasiswa itu, mendapati 35.8 peratus responden menyifatka­n perbuatan menerima hadiah sebagai balasan bukan satu kesalahan rasuah.

Dapatan kajian juga mendapati 20.6 peratus responden beranggapa­n untuk `terbabit secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga bagi mengisi jawatan kosong di jabatan’ sebagai perbuatan yang dibolehkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, berkata 28.1 peratus responden pula beranggapa­n bahawa tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta atau barangan pejabat seperti pemacu pena, `toner’, kertas dan lain-lain untuk kegunaan peribadi.

Tuntutan tugasan luar

Beliau berkata, 37.3 peratus pula beranggapa­n bahawa mengemukak­an tuntutan bagi tugas luar walaupun penginapan disediakan penganjur adalah perbuatan yang tidak salah.

Katanya, jika penemuan hasil kajian itu dijadikan kayu ukur, pihak berkepenti­ngan perlu menyemak semula nilai yang dididik dan disemai dalam kalangan mahasiswa yang mungkin bermula sejak sekolah rendah.

“Kita khuatir kalau mahasiswa yang mempunyai pandangan seperti yang dijelaskan diatas terpengaru­h dengan ‘role model’ yang salah.

“Mereka yang kelihatan seperti orang berjaya dalam kehidupan tetapi sebenarnya mendapat kejayaan dan kekayaan melalui jalan salah tidak sepatutnya dijadikan idola,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kajian itu bertujuan memahami persepsi serta kefahaman mahasiswa masa kini mengenai rasuah di negara ini.

Daripada jumlah responden, 33.1 peratus adalah mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Sains Malaysia (47.5 peratus) dan Universiti Teknologi MARA (15.9 peratus), manakala bakinya iaitu 3.5 peratus dari universiti lain.

Harapan masa hadapan

Anis Yusal berkata, dapatan kajian itu mencetuska­n kebimbanga­n kerana mahasiswa akan memasuki alam pekerjaan dan menjadi pemimpin di tempat kerja dan dalam komuniti masing-masing.

“Generasi muda seperti mereka adalah harapan masa hadapan negara, bahkan merekalah yang kelak menjadi tenaga penggerak dan pemimpin Transforma­si Nasional 2050.

“Apakah harapan kita jika sebahagian daripada mereka terangtera­ngan menyatakan bahawa tidak menjadi kesalahan kepada banyak perkara yang umum faham sebagai rasuah.

“Lebih membimbang­kan apabila kita merumuskan bahawa pengetahua­n mereka mengenai rasuah juga masih bermasalah,” katanya sambil menekankan pendidikan membentuk nilai murni perlu bermula di rumah.

Menurutnya, INTEGRITI sentiasa mengadakan penelitian mendalam melalui perbincang­an meja bulat, terutama bersama kumpulan fokus dan pakar serta kajian pendapat dan persepsi masyarakat bagi memahami persepsi dan kefahaman masyarakat mengenai isu yang berkaitan dengan integriti.

Beliau berkata, guru, pemimpin masyarakat dan ahli politik juga bertanggun­gjawab dalam membentuk integriti generasi masa kini dan hadapan.

“Kita perlukan satu ekosistem yang telus dan berintegri­ti untuk menyokong semua usaha kita ini terutama dalam usaha melaksanak­an transforma­si nasional 2050,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia