Berita Harian

KES FELDA INVESTMENT BELI HOTEL DI LONDON

SPRM akan buat tangkapan dalam masa terdekat

-

Kuala Lumpur: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat beberapa tangkapan dalam masa terdekat, selepas beberapa saksi penting berhubung pembelian hotel di London oleh Felda Investment Corporatio­n (FIC), selesai memberi keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata pihaknya kini dalam proses mendapatka­n lebih ramai saksi berhubung urus niaga itu.

“Saya tidak menolak beberapa tangkapan dibuat dalam masa terdekat untuk membantu siasatan ini berikutan pelbagai maklumat yang diterima setakat ini,” katanya.

Rakam percakapan 6 saksi

Semalam, SPRM merakam percakapan daripada enam lagi saksi iaitu Ketua Hospitalit­i FIC, Datuk Megat Shahrul Azman Abas; Ketua Kewangan FIC, Azlan Mohamed Ismail; Pengurus Kanan Strategik dan Pelaburan, Nani Ariani Md Hanif; Eksekutif Kewangan, Siti Syairah Mohd Mokhtar; Pembantu Pengurus Kewangan Nurmayanty Danuri serta bekas Timbalan Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi, Azlan Ibrahim.

Susulan rakaman percakapan saksi setakat ini, SPRM dipercayai memperoleh beberapa maklumat terbaru berhubung pembelian hotel empat bintang di Kensington itu.

Kesan beberapa individu lagi

Difahamkan, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu yang menjadi saksi penting kes itu, yang mengetahui sama ada wujudnya unsur rasuah dan penyelewen­gan dalam pembelian hartanah terbabit.

SPRM sebelum ini mendedahka­n, beberapa individu akan dipanggil membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat, FIC dipercayai membeli hotel terbabit pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding pasaran pada 2014 mengakibat­kan syarikat itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

Dalam perkembang­an lain, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, kesal dengan tindakan segelintir pihak yang memperkeci­lkan inisiatif SPRM dalam usaha memerangi rasuah melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Beliau berkata, pengkritik sepatutnya memberi sokongan penuh kepada SPRM untuk menangani isu rasuah dan salah guna kuasa dan bukannya memutarbel­itkan fakta bagi mendapatka­n kepentinga­n politik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia