Berita Harian

Sarawak perluas kawasan pemantauan hingga 10km

-

Petra Jaya: Kerajaan Sarawak mengarahka­n rondaan dan pemantauan oleh pasukan polis peronda dalam lingkungan 10 kilometer (km) radius di kawasan wabak rabies atau penyakit anjing gila bagi mengesan anjing liar yang disyaki pembawa wabak.

Arahan dikeluarka­n Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Mesyuarat Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

Jurucakap Sekretaria­t JPBN berkata, mesyuarat juga memutuskan untuk mewujudkan zon penampan di antara Siburan dan Kuching bagi mengekang penularan wabak rabies ke Kuching.

Katanya, pemilik anjing di sekitar kawasan Batu 10, Kota Padawan diminta membawa haiwan itu untuk suntikan vaksin percuma oleh Jabatan Perkhidmat­an Veterinar (JPV) di Dewan Masyarakat Batu 10, mulai jam 10 pagi hingga 4 petang ini.

Lelaki dijangkiti rabies

Di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahka­n seorang lelaki 52 tahun dari Kampung Remun, Serian dijangkiti rabies, kes jangkitan kelima di Sarawak sejak wabak itu dikesan bulan lalu.

Menerusi satu kenyataan semalam, beliau berkata, lelaki itu yang pernah digigit anjing pada awal Mei lalu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 11 Julai kerana lemah kaki, kebas, sakit belakang serta kebingunga­n.

“Oleh itu, sehingga semalam (kelmarin), terdapat lima kes rabies di Serian, Sarawak. Empat kes meninggal dunia dan satu kes sedang dirawat di HUS,” katanya.

Di Tanjung Malim, Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Pengangkut­an Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata ujian dan analisis makmal ke atas lima sampel anjing, negatif rabies.

Katanya, lima sampel itu antara lapan sampel daripada anjing yang dimusnahka­n di Mukim Matang di daerah Larut Matang dan Selama yang diwarta kawasan wabak anjing gila di Perak, dianalisis Institut Penyelidik­an Veterinar (VRI) Ipoh.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Khas Menanggani Rabies Perak, berkata sampel itu dianalisis selepas seekor anjing peliharaan menggigit dua kanakkanak di kawasan wabak, didapati positif rabies selepas ujian dibuat ke atas bangkainya.

Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankua­sa Khas Menangani Rabies Perak semalam, beliau berkata, keputusan bagi tiga lagi sampel dijangka diketahui Jumaat ini.

Larang kemasukan anjing

Di Bukit Mertajam, Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembanguna­n Desa dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, berkata JPV melarang kemasukan anjing dari Perak dan Sarawak, berkuat kuasa serta-merta.

“Sekatan jalan raya bagi memantau aktiviti pemindahan anjing dari Perak ke negeri ini juga akan dibuat,” katanya semalam, sambil menambah pihaknya sudah menguji 241 sampel otak anjing dan keputusann­ya negatif.

 ??  ?? Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia