Berita Harian

STEM penuhi impian jadi negara pencipta

-

Transforma­si Nasional 2050 atau lebih dikenali sebagai TN50 ialah satu inisiatif pembanguna­n negara dipacu matlamat dan sasaran jelas selama 30 tahun, yang akan dibangunka­n melalui proses perundinga­n dalam fasa persediaan dari 2017 hingga 2019. Dalam merealisas­ikan TN50, matlamat dan sasaran yang digariskan dalam dokumen dasar TN50 bakal diterbitka­n pada awal 2020.

Perjalanan TN50 dimulakan dengan satu majlis Dialog Perdana yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia dihadiri kira-kira 1,000 generasi muda di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM). Menariknya, perasmian berjalan secara santai yang dimulai dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri sebelum disusuli dialog bersama peserta.

Aspirasi generasi muda penting dalam rangka utama TN50. Ini kerana, menurut Perdana Menteri, dasar jangka panjang TN50 itu akan dirangka berdasarka­n aspirasi generasi muda hari ini dan bagaimana mereka mahu melihat Malaysia dalam tempoh tiga dekad akan datang. Pendekatan itu dipilih kerana beliau mahukan TN50 yang menjadi kesinambun­gan kepada dasar 30 tahun terdahulu, adalah visi rakyat kerana masa depan negara milik generasi muda hari ini.

Dalam menjayakan agenda TN50, negara amat perlu membuat persediaan rapi untuk mengharung­i perubahan dunia yang sentiasa melanda. Sebuah negara maju ialah negara pencipta teknologi, bukan pengguna teknologi semata-mata. Justeru, untuk Malaysia mencapai status negara maju pada 2050, rakyat Malaysia perlu menjadi pencipta teknologi, bukan hanya sebagai pengguna teknologi.

Menjadi sebuah negara pencipta memerlukan rakyatnya yang mempunyai kemahiran dan penguasaan dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik). TN50 mempunyai sasaran iaitu menjadi negara 20 teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahter­aan rakyat dan kreativiti dan inovasi.

STEM adalah singkatan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik. Istilah ini biasanya digunakan bagi menunjukka­n dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah bagi meningkatk­an daya saing dalam bidang pembanguna­n teknologi. Keperluan kepada STEM wujud apabila kehendak terhadap bidang pekerjaan yang membabitka­n STEM adalah jauh lebih tinggi berbanding bidang lain. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, banyak bidang pekerjaann­ya, membabitka­n bidang STEM.

Dunia kini bergerak ke arah Revolusi Industri ke-4 di mana ia banyak mengaplika­sikan teknologi berbentuk Artificial Intelligen­ce.

Revolusi Industri ke-4 akan menyaksika­n mesin dan komputer memainkan peranan yang sangat signifikan di mana kedua-duanya dilihat akan mengambil alih peranan manusia dalam melakukan tugasan sama ada dalam konteks industri atau operasi rutin.

Seterusnya, banyak pekerjaan yang ada ketika ini dijangka akan dikurangka­n atau sudah tidak wujud lagi kerana hilang kerelvanan­nya pada masa depan. Ia juga menyaksika­n kewujudan pekerjaan baharu yang tidak lagi terfikir bentuknya oleh generasi masa kini.

10 kemahiran pilih pekerja

The Future Jobs melaporkan bahawa majikan 2020 mengingink­an kelainan dalam memilih pekerja. Kemahiran berfikir adalah antara elemen penting dalam memilih pekerja dan bukan semata-mata berdasarka­n kelayakan akademik. Antara 10 kemahiran teratas yang dikehendak­i oleh majikan adalah keupayaan seseorang menyelesai­kan masalah kompleks, berfikir secara kritis, kreatif, menguruska­n manusia, kecerdasan emosi, membuat keputusan serta berunding.

Dewasa ini, negara menghadapi dilema apabila peratus pelajar sekolah dalam aliran berkaitan STEM adalah lebih rendah seperti yang diinginkan. Ini menimbulka­n kerisauan banyak pihak apabila semakin banyak industri berkaitan STEM akan dibangunka­n di negara ini. Matlamat Pendidikan STEM ialah melahirkan murid berliteras­i STEM yang berupaya untuk mengenal pasti, mengaplika­si serta mengintegr­asikan konsep STEM untuk memahami masalah dan menyelesai­kannya secara kreatif dan inovatif.

Ini dilakukan melalui pembelajar­an bersepadu STEM yang mengalplas­ikan konteks dunia sebenar dan menggunaka­n pendekatan hands-on dan penerokaan terbuka. Banyak usaha dilaksanak­an dalam pendidikan STEM. Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementeria­n Pendidikan Tinggi dan Kementeria­n Pendidikan ialah tiga kementeria­n yang proaktif peranan mereka dalam menjayakan pendidikan STEM.

Contohnya, MOSTI melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2013-2020 mengenal pasti Nilai Rantaian Bakat STEM (STEM Talent Value Chain). Ia berdasarka­n tiga fasa iaitu Membangunk­an Bakat, Menggemble­ng Bakat dan Memperkasa­kan Bakat, yang bermula dari seawal kanak-kanak di prasekolah sehingga ke tahap kepakaran yang tinggi dalam bidang sains dan teknikal.

Dalam usaha menjadikan pendidikan STEM menarik, penting agar kerjasama pelbagai pihak terbabit dilakukan. Contohnya pihak sekolah dibenar mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat bagi memastikan pendidikan sains, teknologi, kejurutera­an dan matematik dapat dilaksanak­an dengan berkesan.

Jelasnya, pendidikan STEM tidak boleh berdiri sendiri sebagai disiplin yang terasing. Sudah tiba masanya pendidikan STEM diintegras­ikan dalam konteks dunia sebenar. Dalam konteks ini, pendidikan yang berasaskan kelas tradisiona­l di mana ia lebih berorienta­sikan pemusatan kepada guru perlu diubah kepada konsep baharu yang mengutamak­an pelajar banyak bertanya.

Bagi memastikan pendidikan STEM benar-benar dapat menarik minat pelajar, kaedah pengajaran pasif di dalam bilik darjah perlu diubah kepada pembelajar­an aktif yang mementingk­an idea kreatif dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Realitinya, agenda pendidikan yang berteraska­n STEM perlu dititikber­atkan oleh warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Menjadi sebuah negara pencipta memerlukan rakyatnya yang mempunyai kemahiran dan penguasaan dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejurutera­an dan Matematik)”

Dewasa ini, negara menghadapi dilema apabila peratus pelajar sekolah dalam aliran berkaitan STEM adalah lebih rendah seperti yang diinginkan. Ini menimbulka­n kerisauan banyak apabila semakin banyak industri berkaitan STEM akan dibangunka­n di negara ini”

Jelasnya, pendidikan STEM tidak boleh berdiri sendiri sebagai disiplin yang terasing. Sudah tiba masanya pendidikan STEM diintegras­ikan dalam konteks dunia sebenar”

 ??  ?? Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia