Berita Harian

Larangan buat kenyataan turut liputi media sosial

-

Kuala Lumpur: Penjawat awam boleh dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang kerja sekiranya didapati menyalahgu­nakan media sosial termasuk membocorka­n maklumat sulit kerajaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata penjawat awam secara umumnya terikat dengan peraturan yang digariskan di bawah Perintah Am dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Katanya, ia termasuk melarang penjawat awam daripada membuat sebarang pernyataan awam di semua media termasuk media sosial.

Tindakan tatatertib

“Jika sabit kesalahan di bawah peraturan ini, penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib membawa kepada buang kerja,” katanya kepada BH ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas rencana muka sepuluh tulisan Felo Penyelidik Kanan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr Abdul Gapar Abu Bakar semalam bahawa wujud ‘wartawan jadian’ dalam kalangan 1.59 juta penjawat awam yang bertindak pantas tanpa berfikiran waras untuk menyampaik­an perkara yang dibincangk­an dalam perkhidmat­an kepada khalayak sebagai berita sensasi yang mudah menjadi viral.

Menurut Abdul Gapar, kira-kira 60 peratus anggota perkhidmat­an awam adalah pegawai yang lahir dalam julat 1980-an hingga 2000, dikenali juga sebagai Generasi Y, manakala selebihnya Generasi X dan ‘Baby Boomers’.

Jailani berkata, selain penjawat awam, mana-mana individu yang menyalahgu­nakan media sosial dengan menghantar apa-apa komen atau komunikasi yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik boleh diambil tindakan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh didenda sehingga RM 50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

 ??  ?? Jailani Johari
Jailani Johari

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia