Berita Harian

Syor kaunter khas semak senarai hitam di KLIA, klia2

-

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) disaran membuka kaunter atau kios pemudah cara di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang mengemukak­an syor berkenaan, berkata langkah itu bagi membolehka­n orang ramai menyemak senarai syak dan senarai hitam untuk ke luar negara sebelum penerbanga­n.

Katanya, hanya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setakat ini melaksanak­an inisiatif berkenaan dengan membuka kios di klia2 untuk mereka yang meminjam dengan perbadanan itu berurusan mengenai bayaran balik pinjaman.

Semakan lebih cepat

“Kami mahu (LHDN, MDI) ada physical appearance (penampilan fizikal) seperti kaunter di KLIA dan klia2 sebagai pintu masuk utama negara supaya segala urusan seperti menyemak hutang dan senarai hitam nama dapat dilakukan lebih cepat.

“Orang ramai sering salahkan kami jika dihalang ke luar negara walhal kami hanya urus tadbir 137 pintu masuk ke luar negara, bukan buat sekatan berkenaan. Jadi, lebih banyak agensi berkaitan buka kios di pintu masuk negara, ia dapat membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpuna­n bulanan dan majlis rumah terbuka Jabatan Imigresen Wilayah Persekutua­n di Kompleks Mini Kementeria­n Dalam Negeri (KDN), di sini semalam.

Mengenai program pendaftara­n Enforcemen­t Card (E-kad), Mustafar berkata, sehingga semalam, lebih 160,000 pendatang asing tanpa izin yang bekerja di negara ini sudah berdaftar.

Katanya, seramai 3,874 pendatang ditangkap sejak program tamat 1 Julai lalu bersama 84 majikan dengan 10 daripada mereka sudah menjalani proses perundanga­n.

Beliau berkata, warga Bangladesh mencatatka­n tangkapan tertinggi seramai 1,326 orang, diikuti Indonesia (994), Myanmar (350), Vietnam (178), Thailand (161), Filipina (102) dan negara lain-lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia