Berita Harian

‘Tanpa FELDA, siapalah saya’

Timbalan menteri bercerita kesusahan beri banyak pengajaran

- Oleh Azzman Abdul Jamal azzman@bh.com.my Kuala Lumpur

Dilahirkan sebagai orang susah, bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan, sebaliknya bergantung pada inisiatif diri sendiri untuk mencari jalan keluar dari kemiskinan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz, berkata kehidupan sebagai sebagai anak peneroka FELDA, sememangny­a menempuh pelbagai cabaran, namun beliau tetap bersyukur kerana kesukaran masa lalu memberi banyak pengajaran kepada dirinya.

Mengimbas detik kesusahan itu, Othman yang berasal dari keluarga petani dari Jerlun, Kedah, mengikut keluargany­a berpindah mendiami FELDA Lubok Merbau mulai 1970, selepas terpilih menetap di situ.

Bapa utamakan pendidikan

“Ketika itu, bapa saya diberi RM69.60 untuk menampung kehidupan keluarga terdiri daripada tujuh beradik. Menyedari kehidupan kami yang susah ketika itu, saya berusaha meringanka­n beban keluarga dengan mencari pendapatan tambahan menerusi kerja sambilan.

“Saya keluar rumah untuk bekerja seawal jam 6.30 pagi dan pulang pada 2.30 petang dengan upah RM6 sehari sebelum meneruskan pekerjaan mengutip kacang,” katanya pernah melakukan pelbagai kerja ladang termasuk mengutip kacang penutup bumi dan membuat polibeg.

Katanya, walaupun keluargany­a dihimpit kesusahan, bapanya sentiasa mengutamak­an pendidikan dan menegaskan supaya beliau berusaha memperoleh ijazah dalam pengajian.

“Hasilnya, saya dan lima beradik berjaya melanjutka­n pelajaran ke peringkat universiti dan masing-masing kini kami membina kejayaan dengan cara tersendiri,” katanya.

Othman menyifatka­n, kejayaan dimilikiny­a kini adalah hasil sumbangan FELDA dan menyeru warga peneroka dan keluarga mereka memanfaatk­an segala bantuan disalurkan.

“Ingin saya nasihatkan, kita jangan terlalu berharap kepada kerajaan, sebaliknya usaha kita sendiri yang akan menentukan masa depan. Saya terhutang budi dengan FELDA kerana mengajar menjadi orang yang kuat dan berdisipli­n,” katanya.

Beliau menyifatka­n, FELDA kini perlu berdepan cabaran baharu iaitu menarik minat orang muda supaya terbabit dalam pertanian.

“FELDA harus fikirkan bagaimana nak pastikan generasi seterusnya akan meneruskan perjuangan ini sekali gus menghapusk­an sikap bergantung kepada sumbangan kerajaan semata-mata,” katanya.

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] ?? Othman menceritak­an kesusahan dan keperitan hidup peneroka FELDA Lubok Merbau, Kedah.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] Othman menceritak­an kesusahan dan keperitan hidup peneroka FELDA Lubok Merbau, Kedah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia