Berita Harian

Pesta dadah di inap desa

11 termasuk remaja ditahan, rampas dadah jenis eramin, ecstasy

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah dan Mohammad Ishak

Polis menahan 11 lelaki termasuk empat pelajar kerana menjadikan sebuah inap desa di Kampung Gong Kepas di sini, sebagai pusat hiburan dan penyalahgu­naan dadah, kelmarin.

Suspek yang berusia antara 16 hingga 28 tahun ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dalam serbuan kirakira jam 2 pagi, selepas menerima aduan awam.

Polis turut merampas dadah jenis eramin dan pil ecstasy bernilai RM465 serta peralatan menghisap dadah, alat siar raya dan lampu disko, selain senjata berbahaya termasuk parang, alat mencuri motosikal dan serangkai kunci rumah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superinten­dan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata ketika serbuan, kumpulan terbabit enggan membuka pintu yang menyebabka­n polis terpaksa mengumpil untuk memasuki inap desa berkenaan.

“Pemeriksaa­n mendapati 11 lelaki itu dalam keadaan khayal sambil mendengar muzik yang dipasang dengan pelbagai kelengkapa­n seperti sebuah pusat hiburan.

“Empat daripada mereka pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari dua sekolah menengah di daerah ini,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di sini, semalam.

Mohd Zamri berkata, kumpulan itu dipercayai menyewa inap desa berkenaan dengan harga RM180 satu malam sejak dua hari lalu.

Direman empat hari

Semua lelaki terbabit direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di Petaling Jaya, seramai 10 remaja lelaki termasuk empat pelajar Tingkatan Empat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dua tuduhan memiliki cecair ketum dan ubat batuk, Sabtu lalu.

Tertuduh adalah Muhammad Hafizzul Armen, 19; Faizrul Shafiq Misran, 20; Khairul Aiman Muhammad Zafran, 20; Muhammad Shafiq Jamaluddin, 20; Muhammad Sham Azmi Ahmad, 22, dan adiknya, Muhammad Khairul Ariffin, 20 serta empat remaja lelaki berusia 16 tahun.

Miliki cecair ketum

Seorang daripada empat remaja bawah umur mengaku bersalah, manakala sembilan lain memohon dibicaraka­n sebaik pertuduhan terhadap semua mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Berdasarka­n pertuduhan pertama dan kedua, semua mereka didakwa memiliki satu botol cecair ketum anggaran berat 700 mililiter (ml) dan satu botol cecair kodein seberat 50ml di tempat letak kereta di tepi jalan PJS 2D/8C, Taman Medan di sini, jam 9 malam, pada 15 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarka­n semua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Ogos ini sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee, manakala peguam Mohd Shazwan Mohd Hassan bertindak mewakili kesemua tertuduh.

 ?? [FOTO MOHAMAD ISHAK/BH] ?? Inap desa yang dipercayai disewa untuk dijadikan pusat hiburan dan penyalahgu­naan dadah.
[FOTO MOHAMAD ISHAK/BH] Inap desa yang dipercayai disewa untuk dijadikan pusat hiburan dan penyalahgu­naan dadah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia