Berita Harian

Polis tubuh pasukan khas siasat isu pajak kereta

Mesyuarat khas diadakan di Bukit Aman Isnin ini

- Oleh Nor Azizah Mokhtar dan Nur Afiradina Arshad bhnews@bh.com.my Kuala Lumpur

Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat lebih 50 laporan yang diterima berhubung isu pajakan kereta di Kajang, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pasukan khas itu akan mengadakan mesyuarat khas berhubung kes berkenaan di Bukit Aman, Isnin ini.

Beliau akan mempengeru­sikan mesyuarat itu yang bakal disertai Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor; Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan dan pegawai penyiasat kes berkenaan.

Teliti setiap laporan polis

“Kami akan meneliti setiap laporan polis yang diterima berhubung kes ini bagi membolehka­n tindakan sewajarnya diambil,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Jawatankua­sa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah Ke-24 di Hotel Berjaya Times Square, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Polis Diraja Thailand, Jeneral Sutep Dechrugsa dan Timbalan Komander Divisyen Perhubunga­n Luar Polis Diraja Thailand, Mejar Jeneral Apichat Suriboonya dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Noor Rashid berkata, mereka akan meneliti adakah wujud sebarang perjanjian sah antara pemilik kereta dan syarikat pemajak serta isi kandungan perjanjian berkenaan bagi memastikan tindakan yang adil dapat dilakukan.

Minta semua pihak bersabar

Beliau turut menegaskan semua pihak yang terbabit dalam isu pajakan kereta itu supaya bersabar sehingga pasukan khas polis menyelesai­kan siasatan.

Pada 6 Julai lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahka­n kira-kira 500 pemilik kenderaan mendakwa hasrat mereka mencari pendapatan tambahan dengan cara memajak kenderaan untuk disewakan musnah apabila ditipu sebuah syarikat pemajak kenderaan.

Selepas pendedahan itu, PPIM bersama sebahagian pemilik kenderaan pergi ke pejabat syarikat pemajak kenderaan itu di Kajang untuk mengambil semula kenderaan masing-masing sehingga mencetuska­n kekecohan.

Isu berkenaan berlarutan sehingga kini dengan kedua-dua pihak iaitu pemilik kenderaan yang disokong PPIM dan syarikat terbabit mengeluark­an pelbagai kenyataan mempertaha­nkan tindakan masing-masing selain timbul tuduhan polis bersikap pilih kasih dalam menangani isu itu.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan syarikat yang menawarkan skim pajakan itu, AGR Trade Sdn Bhd sedia menyertai perbincang­an dengan pasukan khas itu bagi mencari jalan penyelesai­an isu berkenaan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berharap isu berkenaan dapat diselesaik­an sebaik mungkin.

“Kami menerima lebih 250 aduan mangsa pajakan kereta ini. Oleh itu, kami menghormat­i tindakan polis untuk siasat dengan lebih terperinci mengenai hal ini. PPIM berharap nasib pengguna terbela,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AGR, Datuk Seri C Kamaleshwa­ran, juga menyatakan kesediaan bekerjasam­a.

“Jika polis panggil, kami pasti beri kerjasama dan berharap masalah diselesaik­an,” katanya.

 ?? [FOTO ASYRAF HAMZAH/BH] ?? Noor Rashid (dua dari kiri) bersama Sutep (dua dari kanan) elepas menghadiri Mesyuarat Majlis Jawatankua­sa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah Ke-24 di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO ASYRAF HAMZAH/BH] Noor Rashid (dua dari kiri) bersama Sutep (dua dari kanan) elepas menghadiri Mesyuarat Majlis Jawatankua­sa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah Ke-24 di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia