Berita Harian

Mohon restu ibu, bapa sebelum perlumbaan

- Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: “Sebelum ke trek perlumbaan, dia minta restu saya dan ibunya, itu saja,” kata Jantan Ramli, 48, bapa kepada Khairul Hafiz yang meleburkan rekod kebangsaan 200 meter (m) berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan.

Katanya, anak kedua daripada tiga beradik berusia 19 tahun itu memohon restu dan doanya, termasuk isteri, Norlizah Mohamad, 42, namun tidak berbicara mengenai rekod kejohanan yang akan dicipta kerana hanya memohon keizinan untuk bertanding.

“Pada saya hanya doa mengiringi perjuangan­nya (Khairul Hafiz), malah kami tidak henti-henti berdoa dia mencapai impiannya untuk berjaya dalam sukan diminati dan kehidupan masa depan.

“Apapun, saya yakin melalui keazaman dan kesungguha­nnya, dia mampu memecahkan rekod 200m begitu juga dalam 100m, cuma masanya saja tidak diketahui.

Doa kecemerlan­gan Hafiz

“Terima kasih juga kepada jurulatih, Mohd Poad Md Kassim, rakan, pengurusan kontinjen, semua pihak dan rakyat negara ini yang mendoakan kecemerlan­gan Hafiz,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Khairul Hafiz yang turut digelar ‘The Speedy Jantan’ yang berkongsi tarikh lahir yang sama dengan bapanya pada Sabtu ini memecah rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Dia meninggalk­an jauh pencabar lain dengan mencatat kepantasan 20.90s, sekali gus meleburkan rekod lama bekas pemegang rekod kebangsaan, Jegathesan 20.92s.

Rekod kebangsaan lama dilakar Jegathesan atau digelar 'The Flying Doctor' pada Sukan Olimpik Mexico 1968.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia