Berita Harian

ARCHIDEX 2017

Sasar jumlah pengunjung meningkat lima peratus

-

Pameran Seni Bina, Hiasan Dalaman dan Bangunan Antarabang­sa Malaysia Ke-18 (ARCHIDEX 2017) menyasar peningkata­n sebanyak lima peratus jumlah pengunjung pada edisi penganjura­n tahun ini berbanding lebih 35,000 pengunjung yang dicatatkan pada tahun lalu.

Pameran tahunan anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan CIS Network Sdn Bhd (CIS) itu disertai lebih 550 pempamer tempatan dan antarabang­sa termasuk dari Austria, China, Jerman, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom.

Presiden CIS, Datuk Vincent Lim berkata pihaknya juga optimis mampu mencapai transaksi perniagaan bernilai RM1 bilion sepanjang empat hari ia berlangsun­g bermula 19 hingga 22 Julai ini.

“Sasaran transaksi perniagaan dijangka boleh menyamai apa yang kami capai pada tahun lalu dan pameran ini turut disertai golongan profesiona­l dalam industri seperti arkitek, pereka dalaman, pemaju hartanah, jurutera dan juruukur bahan,” katanya pada sidang media selepas perasmian ARCHIDEX 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar Jabatan Kerja Raya, Sr Ratna Mahyuddin yang mewakili Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta Presiden Persatuan Arkitek Malaysia, Ar Ezumi Harzani Ismail.

Platform strategik

Tambah Lim lagi, ARCHIDEX 2017 adalah platform strategik untuk mempamer serta menyokong inovasi pintar terbaik dalam industri supaya ia lebih maju dan berkembang.

Sementara itu, dalam ucapan yang dibacakan wakilnya, Rosnah berkata, pertumbuha­n industri pembinaan naik kepada lapan peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 6.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkata­n itu dipacu oleh aktiviti kejurutera­an awam yang lebih tinggi. Jumlah nilai kerja pembinaan yang siap meningkat kepada 9.7 peratus kepada RM35 bilion membabitka­n 9,572 projek pada tahun ini berbanding 11.1 peratus dengan nilai RM31.9 bilion pada tahun lalu,” katanya.

ARCHIDEX 2017 adalah acara berkaitan industri seni bina yang terbesar di Asia Tenggara.

Antara program lain yang turut berlangsun­g sempena ARCHIDEX 2017 termasukla­h Architalen­t, pertanding­an rekaan untuk pelajar; Focus FORUM@ARCHIDEX serta BIZ@ARCHIDEX yang mana pempamer terpilih akan berkonsi maklumat berharga serta pengalaman mereka dalam industri pembinaan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia