Berita Harian

Inflasi susut kepada 3.6 peratus pada Jun

-

Inflasi Malaysia meneruskan aliran menurun pada Jun lalu didorong harga bahan api yang lebih murah.

Indeks harga pengguna (IHP) pada bulan lalu meningkat 3.6 peratus pada Jun berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Penanda aras inflasi itu mencatat peningkata­n 5.1 peratus pada Mac, paras tertinggi peringkat bulanan dalam tempoh lapan tahun.

Mengikut Jabatan Perangkaan, antara kumpulan utama yang menyumbang kepada kenaikan IHP pada Jun adalah adalah indeks Pengangkut­an (+10.5 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus), perkhidmat­an rekreasi dan kebudayaan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.6 peratus), restoran dan hotel (+2.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain (+2.2 peratus).

Dalam satu kenyataan semalam, jabatan itu berkata, indeks kumpulan pengangkut­an itu menunjukka­n peningkata­n 10.5 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Jun 2017, selepas mencatat kenaikan 13.1 peratus pada Mei 2017.

Harga purata 1 liter petrol RON95 adalah RM2.00 pada Jun 2017 berbanding RM1.70 pada Jun 2016 manakala bagi petrol RON97, harga purata adalah RM2.27 pada Jun 2017 berbanding RM2.05, sebelum ini.

Perbelanja­an bahan api dan pelincir untuk pengangkut­an persendiri­an pula menyumbang 7.8 peratus daripada wajaran IHP.

Indeks makanan

Pada bulan berkenaan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.3 peratus didorong oleh indeks subkumpula­n makanan seperti minyak dan lemak (+39.4 peratus), ikan dan makanan laut (+7.2 peratus), daging (+4.2 peratus), buah-buahan (+3.7 peratus) dan sayur-sayuran (+1.8 peratus).

Menurut jabatan itu, kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol itu dicatat di kebanyakan negeri, terutamany­a negerinege­ri dengan tahap perbandara­n tinggi seperti Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia