Berita Harian

Nilai integriti, cegah rasuah diambil kira dalam ICGPA

Elemen jadi mata pelajaran elektif pelajar tahun akhir di IPT

- Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Nazura Ngah

Kementeria­n Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju nilai integriti dan pencegahan rasuah dimasukkan sebagai elemen mata pelajaran elektif pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah, elemen itu akan diambil kira dalam penilaian Purata Nilai Gred Keseluruha­n Berintegra­si (ICGPA) mahasiswa.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah, berkata perkara itu yang mula dibincangk­an sejak akhir tahun lalu mendapat keizinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ganti pendidikan tidak formal

Katanya, ia akan menggantik­an pendidikan tidak formal yang dijalankan SPRM menerusi lebih 100 sekretaria­t di universiti awam (UA) secara ad hoc ketika ini.

“Perbincang­an lanjut mengenainy­a masih berjalan antara KPT, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan SPRM. Ia antara usaha memantapka­n program pencegahan rasuah dalam kalangan mahasiswa.

“KPT dan JPT menerima idea ini dan sangat memberikan kerjasama untuk memastikan ia dilaksanak­an dengan segera.

“Pelaksanaa­n pendidikan pencegahan rasuah secara formal ini dicadangka­n untuk semua UA dan universiti swasta, namun belum dimuktamad­kan,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas kajian Institusi Integriti Malaysia (INTEGRITI) yang mendapati kebanyakan mahasiswa menganggap menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmat­an sebagai balasan atas khidmat yang diberikan bukan satu kesalahan rasuah.

Kajian Persepsi Mahasiswa Mengenai Rasuah itu dijalankan INTEGRITI membabitka­n 402 responden dari beberapa universiti tempatan baru-baru ini.

SPRM bantu sedia modul

Mengulas lanjut, Abdul Samat berkata, SPRM akan membantu menyediaka­n modul, panduan, kit dan kandungan pengajian, manakala proses pengajaran diserahkan sepenuhnya kepada universiti di bawah garis panduan KPT.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah memohon kepada Majlis Jawatankua­sa Naib Canselor, supaya sekretaria­t SPRM di UA diangkat menjadi biro di bawah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) supaya isu integriti dan rasuah diberi perhatian serius.

Abdul Samat berkata, tahun lalu, SPRM berjaya memasukkan elemen nilai murni dan pencegahan rasuah dalam kurikulum Tahun Enam serta dalam subjek Pendidikan Moral untuk Tingkatan Satu dan Dua bermula awal tahun ini.

Sementara itu, Idris yang ditemui pemberita di Behrang, berkata KPT juga akan menerapkan aspek kesukarela­wan dalam kurikulum pendidikan tinggi sebagai satu pendekatan supaya mahasiswa memiliki sifat terpuji termasuk menolak rasuah.

Beliau berkata, Program ‘Gap Year’ atau rehat setahun daripada pengajian bagi membolehka­n mahasiswa terbabit menyemai aspek kesukarela­wan yang tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia