Berita Harian

Sasar bina 500,000 rumah di tapak kumbahan

Kerjasama pintar guna teknologi moden, inovasi terkini dalam tempoh 10 tahun akan datang

- Oleh Mohd Azrone Sarabatin

Kerajaan bercadang membina 500,000 unit rumah awam di kawasan tapak kumbahan menggunaka­n teknologi moden dan inovasi terkini dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembinaan itu dicadang menerusi kerjasama pintar kerajaan menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan sebuah syarikat konsesi swasta yang akan membiayai projek itu.

Bagaimanap­un, beliau yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Kabinet Mengenai Perumahan tidak menamakan syarikat itu.

Katanya, kerjasama pintar itu sudah mendapat kelulusan dasar Kabinet dan kini pada peringkat untuk perincian, sebelum dimuktamad­kan.

Tak kompromi isu kesan kumbahan

Beliau berkata, projek itu adalah idea kreatif untuk menggunaka­n kawasan tapak kumbahan yang memerlukan kawasan yang besar dengan mengaplika­sikan teknologi dan inovasi baharu.

“Teknologi baharu boleh memperkeci­lkan kawasan kumbahan kepada lima hingga 10 peratus daripada kawasan asal, maka selebihnya 90 hingga 95 peratus boleh digunakan untuk perumahan awam tanpa berkomprom­i isu kesan kumbahan kepada penduduk.

“Inovasi terkini digunakan juga adalah canggih tanpa mengabaika­n kualiti persekitar­an dan keselesaan pembeli diutamakan,” katanya berucap pada majlis ulang tahun ke-20 dan sambutan Aidilfitri Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), di Menara FELDA di sini, semalam.

Yang hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad; Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Pada majlis itu, 37 kakitangan SPNB yang menerima Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang (APC) 2016 turut diraikan.

Tangani kos sara hidup

Ahmad Zahid berkata, inisiatif membina kediaman itu diilhamkan Abdul Latif dan beliau berharap ia akan mendapat kelulusan Johari kerana perumahan antara keperluan utama masyarakat dalam menangani kos sara hidup.

“Isu perumahan harus diatasi, dan untuk itu kerajaan amat komited membantu rakyat dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sendiri mahu rakyat sama ada berkemampu­an atau sebaliknya memiliki rumah sendiri,” katanya.

Mengenai cadangan SPNB untuk menyenarai­kan anak syarikatny­a di Bursa Malaysia, Zahid berkata, sebagai bekas pengerusi syarikat itu, beliau amat teruja jika salah sebuah anak syarikatny­a mendapat tawaran awam permulaan (IPO).

“Saya akan beli satu lot (saham) sekiranya dibenarkan pengurusan SPNB,” katanya secara berseloroh.

 ?? [FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN/BH] ?? Ahmad Zahid diiringi Johari, (dari kiri) Pengerusi GIATMARA, Datuk Azian Osman, Abdul Latif dan Ahmad Azizi merasmikan majlis ulang tahun ke-20 dan sambutan Aidilfitri SPNB, di Menara FELDA Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN/BH] Ahmad Zahid diiringi Johari, (dari kiri) Pengerusi GIATMARA, Datuk Azian Osman, Abdul Latif dan Ahmad Azizi merasmikan majlis ulang tahun ke-20 dan sambutan Aidilfitri SPNB, di Menara FELDA Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia