Tekanan kerja faktor penjawat awam bersara awal
Kuala Lumpur: Kesukaran menangani tekanan kerja didakwa menjadi antara punca lebih 20,000 penjawat awam bersara awal setiap tahun.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata, jumlah itu dikhuatiri terus meningkat jika tiada usaha dan langkah proaktif menanganinya.
“Angka itu hampir menyamai jumlah penjawat awam yang bersara wajib yang dianggarkan antara 30,000 hingga 35,000 setahun, antara puncanya adalah tekanan di tempat kerja,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.
Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita pada Majlis Jalinan Kasih Silaturahim Aidilfitri CUEPACS 2017 dekat Konvensyen CIDB, di sini, Azih berkata, tekanan kerja akibat beban tugas yang banyak dengan kerja shif antara faktor utama memaksa penjawat awam bersara awal.
Beliau berkata, desakan bersara awal itu didorong kegagalan penjawat awam dibayar elaun tambahan dan ada yang dibayar separuh daripada jumlah ditetapkan.
Di samping itu, dakwanya, tekanan kerja juga menyumbang kepada perceraian dan mengikut statistik, kadar perceraian paling tinggi direkodkan dalam sektor awam berbanding swasta.
“Sekurang-kurangnya sepasang suami isteri bercerai pada setiap hari akibat masalah rumah tangga kesan daripada bekerja shif disebabkan kesuntukan masa bersama keluarga.
“Tekanan yang dihadapi penjawat awam ini juga berorentasikan dengan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan bagi memastikan pekerja sektor awam sentiasa bersemangat untuk bertugas kebajikan serta keperluan mereka harus diberi perhatian,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Azih berkata, CUEPACS mahu kerajaan segera mewujudkan Majlis Perundingan Gaji dan Majlis Pemuafakatan Sektor Awam selain Skim Perlindungan Keselamatan bagi penjawat awam yang belum disahkan jawatannya.
Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Katanya, cadangan itu bertujuan menyediakan platform terbaik antara kerajaan dan CUEPACS dalam mendengar suara pekerja di negara ini, selain memastikan nasib mereka terbela dan perkara itu sudah dipersetujui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Konvensyen CUEPACS Ke-27 pada Disember lalu.
“Bagaimanapun sehingga hari ini CUEPACS masih belum menerima jawapan balas daripada kerajaan walaupun Timbalan Perdana Menteri sudah menyatakan secara terbuka persetujuan supaya satu mekanisme rundingan di antara kerajaan dan CUEPACS.
“Mekanisme itu bertujuan memastikan perkara berbangkit mengenai kadar upah, syarat perkhidmatan, syarat masuk, laluan kerjaya, pembangunan kerjaya dan masa depan penjawat awam itu sendiri dari segi elaun ,gaji dan saraan diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.