Berita Harian

ROS tetap mahu DAP adakan pemilihan semula

Langkah bolehkan perwakilan pilih 20 anggota CEC sah, diiktiraf

- Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetap dengan keputusann­ya mahu DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankua­sa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata pemilihan semula CEC baharu itu bagi membolehka­n perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

“ROS tetap dengan keputusan itu, ia kekal dan tidak akan berubah.

“Yang pastinya, selagi DAP tidak buat pemilihan semula CEC baharu, CEC mereka tidak boleh diiktiraf dan secara tidak langsung menyebabka­n sebarang keputusan yang dibuat (CEC) adalah tidak sah,” katanya kepada BH, di sini, semalam.

Diberi tempoh 14 hari

Jelas Razin, Isnin lalu, ROS sudah menghantar surat kepada DAP, mengarahka­n parti itu mengadakan pemilihan semula CEC dan diberi tempoh 14 hari untuk memberi maklum balas rasmi kepada pihaknya.

“Arahan itu dikeluarka­n berikutan ROS masih belum menerima dan mengiktira­f pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

“Jika dalam tempoh 14 hari (yang bermula Isnin lalu) DAP tetap tidak memberi maklum balas secara rasmi kepada ROS, kita akan ambil tindakan lain berlandask­an Akta Pertubuhan 1966,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung tindakan lain yang boleh diambil.

Tiada keperluan adakan pertemuan

Ditanya sama ada ROS bersedia untuk berjumpa dengan DAP, Razin berkata, jika DAP mahu sebarang penjelasan lanjut berhubung arahan itu, mereka perlu hantar secara bertulis.

“Kita akan jawab secara bertulis, tiada keperluan untuk adakan pertemuan,” katanya.

Razin menegaskan ROS menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang kerana masih berdaftar secara sah dengan ROS. Ketua Pengarah ROS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia