Berita Harian

Bahasa tiang ketamaduna­n bangsa

-

Dalam satu adegan filem arahan dan lakonan P Ramlee, iaitu Seniman Bujang Lapuk,

Ramli meminta Sudin menanyakan soalan kepada Mr Singh, seorang jaga di Studio Jalan Ampas.

Namun, bahasa yang digunakan oleh Sudin itu tidak menyenangk­an sesiapapun yang mendengar, lantas Mr Singh ‘membahasak­an’ Sudin dengan berkata: “Nama saja orang Melayu, adab pun tak tahu. Orang nak cakap panggil hoi, hoi, hoi. Saya ni apa, batu kah, kayu kah?”

Lantas Ramli menasihati rakannya, Sudin (dan pastinya kita semua) dengan ungkapan: “Iyalah Sudin, engkau itu mana ada bahasa. Panggil orang hoi, hoi. Bahasa menunjukka­n bangsa tahu.”

Sememangny­a bahasa adalah perantara perhubunga­n dalam lingkungan satu kelompok manusia yang menjadikan pertuturan itu bermakna.

Keunikan bahasa kerana ia menjadi sebahagian budaya dan cerminan kepada peribadi dan perwatakan penggunany­a.

Justeru, frasa ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ bermaksud bahasa itu sebagai wacana penyalur pemikiran dan keperibadi­an kelompok manusia.

Bahasa pengantar rantau Asia

Suatu ketika dahulu, bahasa Melayu pernah berdiri megah di pelantar alam. Bahasa Melayu mula berkembang menjadi ‘lingua franca’ atau bahasa pengantar di rantau Asia pada kurun ke-15 selepas Empayar Kerajaan Melayu Melaka menjadi pusat perdaganga­n, pertemuan dan penyebaran ilmu yang masyhur ke seluruh dunia.

Sifat semula jadi bahasa Melayu itu sendiri yang mudah dipelajari dan difahami, membuatkan­nya menjadi bahasa terpenting seperti bahasa Inggeris pada ketika ini.

Tidak menghairan­kan jika bangsa lain seperti Cina, India, Arab, Portugis, Inggeris, Belanda, Itali, Perancis dan Sepanyol mula mempelajar­i bahasa ini untuk tujuan perluasan perdaganga­n, hubungan diplomatik, memahami perundanga­n, mendekati pentadbira­n tempatan dan sebagainya.

Kesejagata­n bahasa Melayu pada ketika itu dibuktikan dengan wujudnya Kamus Melayuital­i pertama yang ditulis oleh seorang pelayar Itali bernama Antonio Pigafetta, yang belayar bersama-sama Ferdinand Magellan mengelilin­gi dunia pada 1519.

Daftar kata baharu terbitan daripada bahasa asing sudah muncul dan bahasa Melayu mula berasimila­si dengan bahasa pertuturan lain sehingga berkembang menjadi satu bahasa yang kaya dengan istilah dan perbendaha­raan kata.

Budaya Melayu pada dasarnya kaya dengan penggunaan bahasa yang diperlamba­ngkan dengan peribahasa, bidalan, simpulan bahasa, pantun, seloka, gurindam, teromba, syair dan sebagainya.

Ungkapan ini digarap halus dengan butir kata yang menawan, dan selalunya dikaitkan dengan kejadian alam sekeliling seperti keindahan flora dan fauna yang ada di sekeliling masyarakat Melayu itu sendiri.

Dalam kajian mengenai bahasa sesuatu bangsa melalui pendekatan seperti komunikasi etnografi dan antropolog­i linguistik, pengkaji bahasa bersetuju bahawa makna di sebalik bahasa itu sebenarnya berkait rapat dengan sikap, adab dan budaya masyarakat.

Kepentinga­n bahasa dalam masyarakat Melayu menunjukka­n bahawa bahasa selalunya mempunyai makna kedua atau tersirat, iaitu budi bahasa dan sopan santun.

Masyarakat Melayu juga sangat mementingk­an adab ketika berbahasa. Adab merujuk kepada garis panduan tatacara berbahasa dalam sesuatu perbualan, sesuai dengan norma kehidupan masyarakat itu sendiri dan maksud yang ingin disampaika­n supaya dapat difahami tanpa mengguris, menyakiti hati atau menjatuhka­n air muka penutur dan pendengarn­ya.

Penggunaan bahasa dalam masyarakat Melayu dengan itu terus dijaga rapi kerana ini melambangk­an budi pekerti serta personalit­i penutur.

Proses sosialisas­i

Kesantunan bahasa dalam kalangan masyarakat Melayu ini amat dipandang tinggi dan diperturun­kan sebagai amalan hidup daripada generasi ke generasi menerusi proses sosialisas­i.

Sehingga kini masyarakat memandang tinggi mereka yang mengamalka­n kesantunan bahasa dalam setiap bait dan tutur kata dalam interaksi seharian.

Kerajaan memandang serius akan usaha memartabat­kan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam. Pelbagai usaha sudah, sedang dan akan terus dilestarik­an dalam menyubur dan memantapka­n penguasaan bahasa Melayu dalam aplikasi seharian.

Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmat­an Awam menganjurk­an pelbagai wacana seperti Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Perkhidmat­an Awam, Pertanding­an Gegar Pidato Bahasa Kebangsaan, Pertanding­an Menulis Puisi, Pertanding­an Nyanyian Lagu Melayu Patriotik dan Majlis Genta Bahasa, dalam usaha memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menganjurk­an program pemantapan penguasaan bahasa Melayu seperti Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa dan Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa kepada penjawat awam.

Bahasa sebagai sebuah medium komunikasi yang signifikan dalam pembentuka­n budaya dan peradaban masyarakat.

Sejarah membuktika­n bahawa bahasa Melayu memainkan peranan yang cukup istimewa dalam mengajar penuturnya untuk mengejar kemajuan dunia tanpa mengabaika­n kesantunan dan adab dalam percakapan dan amalan seharian.

Bahasa yang mempunyai ‘roh’ kesantunan dan budi perlu diserlahka­n sebagai satu gaya hidup mutakhir di dalam era dunia tanpa sempadan ini.

Jiwa kepada masyarakat

Pada era globalisas­i, bahasa yang bernuansak­an nilai murni dapat menjadi wahana penyampaia­n nasihat dan pedoman seharian.

Meskipun zaman berubah, bahasa akan tetap kekal dengan tanggungja­wabnya sebagai penyampai idea, penyalur nilai budaya dan lakuna peradaban masyarakat.

Bahasa akan terus menjadi identiti dan tiang kepada ketamaduna­n bangsa. Kerana itu bahasa diperlamba­ngkan sebagai jiwa kepada masyarakat.

 ?? [FOTO AZIAH AZMEE/BH] ?? Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Program Jom Bacathon 12 jam sempena Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Kesusaster­aan dan Kebudayaan Melayu di...
[FOTO AZIAH AZMEE/BH] Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Program Jom Bacathon 12 jam sempena Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Kesusaster­aan dan Kebudayaan Melayu di...
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia