Berita Harian

6 tahun bayar ansuran pinjaman, tapi rumah tak siap

Lebih 300 pembeli kediaman Taman Setia Indah 4, desak pemaju siapkan segera projek

- Oleh Nurul Amanina Suhaini

Lebih 300 pembeli rumah Taman Setia Indah 4, dekat sini, kecewa kerana rumah mereka masih belum disiapkan pemaju walaupun sudah enam tahun mereka membayar ansuran pinjaman.

Mereka mendakwa, pinjaman bank dibuat sejak 2012 dan mereka dijanjikan oleh pemaju untuk diberikan kunci pada bulan ini, bagaimanap­un persoalan timbul apabila langsung tiada pergerakan terhadap kerja pembinaan di tapak projek berkenaan.

Tinjauan mendapati, kerja pembinaan sudah berhenti dengan kemudahan termasuk jalan utama, pintu dan tingkap masih belum dipasang, sementara kediaman dipenuhi semak.

Pembeli, Ahmad Fadli Makhul, 33, mendakwa projek fasa kedua rumah jenis kos sederhana rendah yang berharga RM110,000 dan ke atas itu tertangguh sejak tiga tahun lalu.

Katanya, projek itu membabitka­n 625 unit kediaman dengan fasa satu sebanyak 212 unit sudah menerima kunci pada Mac lalu, namun projek bagi fasa dua dan tiga membabitka­n 413 unit masih belum disiapkan.

“Saya rasa terbeban kerana perlu membayar pembiayaan bulanan rumah sebanyak RM530 sejak tahun 2012, selain perlu membayar sewa rumah di Jalan Dato’ Menteri, di sini, sebanyak RM600.

“Walaupun isteri saya bekerja, namun kami mempunyai tiga anak berusia antara dua hingga tujuh tahun menyebabka­n perbelanja­an kami meningkat,” katanya yang bekerja di sebuah kilang, di sini.

Pelbagai alasan pemaju

Seorang lagi pembeli, Aminnorash­id Ahmad, 33, berkata impian memiliki rumah pertama itu seperti terkubur apabila melihat keadaan kediaman yang tidak sempurna sejak lima tahun lalu.

Dakwanya, sudah beberapa kali dia menghantar surat kepada pemaju, namun pelbagai alasan diberikan dan masalah itu turut diajukan kepada kerajaan negeri, namun masih tiada maklum balas diterima.

“Pembeli rumah fasa satu Taman Setia Indah 4 juga tidak berpuas hati terhadap mutu kediaman yang dibeli berikutan masalah kerosakan serius walaupun kunci rumah sudah diterima menyebabka­n mereka masih tidak dapat menduduki rumah berkenaan.

“Wakil penduduk pernah merujuk kepada pemaju berhubung isu ini di pejabat cawangan mereka yang terletak berhampira­n projek perumahan ini, bagaimanap­un sehingga kini masih tiada jalan penyelesai­an.

“Saya berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi membolehka­n kami dapat menduduki rumah yang dibeli,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang, berkata pihaknya sudah dimaklumka­n mengenai perkara itu dan berasa sedih apabila pemaju masih gagal menyiapkan projek berkenaan walaupun banyak amaran sudah diberikan sebelum ini.

“Projek ini sememangny­a rumah mampu milik namun diuruskan oleh syarikat swasta dan diharap pemaju dapat segera menyelesai­kannya,” katanya.

 ?? [FOTO NURUL AMANINA SUHAINI /BH] ?? Penduduk mendesak pemaju menyiapkan projek perumahan Taman Setia Indah 4, Johor Bahru yang mula dibina sejak 2012.
[FOTO NURUL AMANINA SUHAINI /BH] Penduduk mendesak pemaju menyiapkan projek perumahan Taman Setia Indah 4, Johor Bahru yang mula dibina sejak 2012.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia