Berita Harian

Jana tenaga elektrik daripada sisa makanan

Projek perintis guna bungkusan GB permudah proses hasilkan biogas

- Oleh Ifwan Tun Tuah

Usaha menghasilk­an tenaga elektrik daripada sisa makanan di negara ini, maju setapak lagi dengan projek perintis terbaharu dilancarka­n di Medan Ikan Bakar Kampung Gelam di sini, semalam.

Projek dinamakan Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik, membabitka­n dua elemen iaitu penggunaan kotak pembungkus­an mesra alam serta mesin penghasila­n elektrik daripada biogas.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, berkata melalui projek yang pertama di Malaysia itu, bungkusan makanan dinamakan ‘Green Blue’ (GB) diedarkan kepada 20 peniaga terpilih di sekitar bandar ini.

Tiada bahan kimia

“Bungkusan GB ini istimewa kerana dihasilkan tanpa menggunaka­n bahan kimia berbahaya kepada tubuh dan paling penting, bungkusan itu boleh diproses bersama sisa makanan untuk dijadikan biogas yang akan menjana tenaga elektrik.

“Ideanya adalah sisa makanan bersama bungkusan GB tidak perlu dibuang seperti biasa, sebaliknya dikumpulka­n dan dihantar ke tapak sistem pencernaan anaerobik untuk diproses,” katanya pada majlis pelancaran projek itu di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Ahli Majlis Perbandara­n Port Dickson (MPPD), Datuk Abd Rahman Mohd Redza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi. Yang turut hadir, Yang Dipertua MPPD, Zamri Mat Kassim.

Tingkat kempen kesedaran

Sementara itu, Pengurus Besar Pusat Kajian Teknologi Alam Sekitar SIRIM, Isnazunita Ismail, berkata sistem pencernaan anaerobik bernilai RM500,000 itu mampu menghasilk­an 5 kilowatt tenaga elektrik daripada 500 kilogram sisa makanan.

“Proses bermula dengan sisa makanan dihancurka­n dan dimasukkan ke dalam tangki khas mengandung­i bakteria yang kemudian menukarkan sisa terbabit menjadi biogas yang seterusnya ditukarkan kepada tenaga elektrik,” katanya.

Beliau berkata, cabaran utama dihadapi dalam usaha itu adalah memastikan sisa makanan yang dihantar ke tapak berkenaan tidak mengandung­i bahan yang tidak boleh diproses terutama objek keras termasuk tulang haiwan besar, kulit kerang, tin, batu selain plastik dan bahan kimia.

Justeru, katanya, projek itu antara lain turut memberi penekanan kepada kempen kesedaran mengenai kepentinga­n menyisihka­n bahan yang tidak boleh diproses di peringkat awal sebelum dihantar ke tapak berkenaan.

Ideanya adalah sisa makanan bersama bungkusan GB tidak perlu dibuang seperti biasa, sebaliknya dikumpulka­n dan dihantar ke tapak sistem pencernaan anaerobik untuk diproses” Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad

 ?? [FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN/BH] ?? Abdul Rahman (tengah) mendengar penerangan daripada Dr Ahmad Fadzil (kiri) pada pelancaran Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik di Port Dickson, semalam.
[FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN/BH] Abdul Rahman (tengah) mendengar penerangan daripada Dr Ahmad Fadzil (kiri) pada pelancaran Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik di Port Dickson, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia