Berita Harian

Lans Koperal, pemandu lori dituduh ugut

-

Ipoh: Seorang anggota polis dan pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan mengugut seorang individu di kawasan perindustr­ian dekat Seri Iskandar di sini, kira-kira tiga tahun lalu.

Lans Koperal Muhamad Faisal Ahmad Ghapur, 32, dan Muhammad Azizul Hakim Hasnan, 27, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu sejurus dikemukaka­n Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Menakut-nakutkan mangsa

Kedua-duanya didakwa melakukan pemerasan secara menakut-nakutkan mangsa, Faizal Yusof, dengan menunjukka­n gari yang dimiliki serta mengancam membawa lelaki itu ke balai polis.

Mereka didakwa melakukan perbuatan terbabit di Kawasan Perindustr­ian Farmaseuti­kal, Bandar Seri Iskandar, jam 7 malam pada 20 Mac 2014.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 384, Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman berkenaan.

Hakim S Indra Nehru membenarka­n kedua-duanya masing-masing dijamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Ogos ini untuk kes itu disebut semula.

Ketika prosiding berlangsun­g, Muhamad Faisal diwakili oleh peguam bela, Amir Khusyari Mohamad Tanusi, manakala Muhammad Azizul diwakili Khairul Anuar Musa.

Terdahulu, Amir Khusyairi merayu agar anak guamnya dibenarkan jaminan RM4,000 kerana sejak kes itu didakwa berlaku, tertuduh ditahan daripada menerima kenaikan pangkat dan gaji bermakna berpendapa­tan RM1,100 sahaja sekarang dan menanggung isteri yang bekerja sambilan, dua anak masih kecil serta bergilir dengan adiknya bagi menjaga bapa yang menghidap angin ahmar serta alzheimer.

Khairul Anuar pula merayu anak guamnya dijamin RM3,000 kerana baru mendapat pekerjaan sebagai pemandu lori dengan gaji RM1,000 sebulan, isteri mengandung anak pertama manakala ibunya pula meninggal dunia akibat tekanan perasaan dan kesedihan tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu.

 ?? [FOTO L MANIMARAN/BH] ?? Muhamad Faisal (kiri) dan Mohamad Ibrohim (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
[FOTO L MANIMARAN/BH] Muhamad Faisal (kiri) dan Mohamad Ibrohim (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia