Berita Harian

Kemiskinan jejas pendidikan enam beradik

-

Jertih: Masalah kemiskinan keluarga menyebabka­n enam daripada lapan beradik di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, dekat sini, tidak mendapat pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain.

Ibu mereka, Norhasnah Hamzah, 34, tidak mampu menyara hidup lapan anaknya kerana kemiskinan hidup sementara suaminya pula tidak tinggal serumah dan jarang pulang.

Bekalan elektrik dipotong

“Kami tinggal dalam kegelapan pada waktu malam sejak dua bulan lalu disebabkan bekalan elektrik di rumah yang disewa dipotong kerana sudah beberapa bulan tertunggak.

“Kadang-kadang kami juga terpaksa meraih ihsan jiran untuk mengisi perut,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Norhasnah yang kini mengandung lima bulan menyara lima daripada lapan anaknya manakala tiga lagi tinggal bersama saudara terdekat.

Lima anak yang berada dalam jagaannya ialah Nornamira Shaida Amran, 13, Norhazira Shahira, 11, Nor Fatin Hidayah, 10, Nor Yana Najua, 8 dan Mohd Sazlan, 2.

Tiga lagi anaknya, Norauri Zaika, 3, Mohd Izzuan Shaifuddin, 6 dan Mohd Rezeki Iman, 15, tinggal bersama ibu saudara mereka.

Sebelum ini, kisah kehidupan keluarga berkenaan viral di media sosial.

Anak Norhasnah juga dikatakan sering keluar malam untuk meminta makanan daripada jiran.

Norhasnah mengakui perkara itu, bagaimanap­un tidak menafikan ramai yang tampil membantuny­a sebelum kisah hidupnya viral.

Sebelum ini katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan wakil dari Puteri UMNO sering membantu dari segi kewangan, makanan dan pakaian untuk anaknya.

Katanya, rumah sewa yang didiami pada masa ini dibayar oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) sebanyak RM250 sebulan tetapi sejak awal tahun ini pihak berkenaan menarik balik bantuan itu kerana berlaku sedikit masalah.

Cari rumah sewa lain

Sementara itu, Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Kampung Beris Lampu, Tuan Junus Tuan Mat, berkata pihaknya mengambil tindakan jangka pendek untuk mencari rumah sewa lain yang akan diberikan kepada keluarga berkenaan.

Katanya, beliau juga sudah memohon Tengku Zaihan mencari penyelesai­an jangka panjang dengan memberikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membolehka­n keluarga berkenaan tinggal di rumah sendiri.

 ?? [FOTO MOHAMMAD ISHAK/BH] ?? Rumah sewa yang didiami Norhasnah bersama enam anak di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut.
[FOTO MOHAMMAD ISHAK/BH] Rumah sewa yang didiami Norhasnah bersama enam anak di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia