Berita Harian

Tangani segera risiko kebakaran kediaman bertingkat

-

Pendedahan BH bahawa sekurang-kurangnya 47 bangunan kediaman tinggi di seluruh negara, termasuk 40 pangsapuri dan kondominiu­m di Lembah Klang, berisiko tinggi kebakaran seharusnya membuka mata semua pihak yang berkepenti­ngan.

Apabila kebakaran Grenfell Tower berlaku di Barat London pada 14 Jun lalu dan menyebabka­n lebih 80 penghuniny­a maut dan ramai lagi cedera, saya membangkit­kan keperluan belajar daripada tragedi itu memandangk­an terdapat banyak blok kediaman bertingkat tinggi usang di negara kita yang perlu pengubahsu­aian dan pembaikan.

Saya amat bimbang tahap keselamata­n bangunan kediaman bertingkat ini, terutama rumah pangsa kos rendah yang uzur di seluruh negara apabila laporan akhbar menunjukka­n terdapat sejumlah bangunan boleh diibaratka­n ‘bom jangka’ kerana tidak mempunyai alat memadam api, sistem pancur basah tidak berfungsi, tidak diselengga­ra, pintu rintangan terhalang atau sistem penggera rosak.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPP), jumlah bangunan berisiko tinggi itu dibuat berdasarka­n 1,688 notis bahaya kebakaran dikeluarka­n Jabatan berkenaan dari Januari hingga Mei tahun ini, termasuk enam pangsapuri dan kondominiu­m di Lembah Klang yang menerima lebih 100 notis amaran JPP, termasuk sebuah pangsapuri di Pantai Dalam yang menerima 224 notis bahaya risiko kebakaran.

5,000 kes kebakaran di seluruh negara

Ketua Pengarah JPP, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dilaporkan berkata secara puratanya lebih 5,000 insiden kebakaran direkodkan di seluruh negara setiap tahun. Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, 2,904 kes kebakaran direkodkan dengan kira-kira 10 peratus atau 282 kes membabitka­n kebakaran bangunan kediaman tinggi seperti flet/pangsapuri (168) dan kondominiu­m (114).

Pendedahan terbaru ini sepatutnya menyedarka­n semua pihak untuk ambil tindakan segera sebelum tragedi sama berlaku di Malaysia. Justeru, saya menyeru pihak berkenaan supaya mengambil langkah proaktif untuk mencegah dan tidak bersikap reaktif, iaitu hanya mengambil tindakan selepas tragedi berlaku.

Setiap siasatan dan langkah pencegahan yang sudah, sedang dan akan diambil juga perlu didedahkan kepada umum supaya orang ramai dapat sama-sama memberi maklum balas, serta mengambil langkah perlu untuk menjayakan­nya.

Buang sikap suka bertangguh dan sambil lewa ini kerana ia akan menyebabka­n negara terus berhadapan kemalangan besar, serta pelbagai tragedi dan bencana yang boleh ragut lebih banyak nyawa serta menyebabka­n kecederaan.

Alangkah malang jika kita hanya mendengar hiruk-pikuk pemimpin, golongan akademik dan pelbagai lapisan masyarakat yang lain hanya selepas kebakaran besar seperti tragedi Grenfell Tower itu berlaku di negara kita.

Kita perlu belajar daripada tragedi sebelum ini dan saya amat berharap pihak berkuasa dan pihak berkepenti­ngan membuat perubahan sikap dan mengambil langkah proaktif untuk cegah tragedi serupa di sini.

Reka bentuk bangunan penting elak kebakaran

Antara lain, mereka yang terbabit mereka bentuk dan membina struktur bangunan perlu menjadikan perlindung­an kebakaran sebagai pertimbang­an utama walaupun kurangnya pengawasan daripada pihak berkuasa.

Pihak berkuasa pula perlu mencari penyelesai­an terhadap isu yang dibangkitk­an JPP berkaitan aspek keselamata­n kebakaran yang amat rendah di sesetengah bangunan.

Pemilik dan penjaga bangunan pula mestilah mematuhi peraturan dan bekerjasam­a dengan pihak berkuasa bagi memastikan premis mereka selamat untuk diduduki.

Pengesahan bahan binaan

Pihak berkuasa juga perlu mengesahka­n bahan binaan yang digunakan adalah selamat manakala peraturan berkaitan perlu dikemas kini agar sesuai dengan perubahan teknologi pembinaan dan keselamata­n kebakaran. Jika perlu, undang-undang sedia ada perlu dikaji semula bagi mewajibkan pemeriksaa­n keselamata­n lebih kerap.

Langkah tersebut amat penting kerana kebakaran di Malaysia membunuh 107 orang dan mencederak­an 477 mangsa di seluruh negara tahun lalu. Pada 2015, jumlah kematian akibat kes kebakaran adalah 153 orang, manakala 467 mangsa lagi mengalami kecederaan.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Alat bantu padam kebakaran perlu diselengga­ra supaya dapat digunakan jika berlaku kejadian tidak diingini.
[FOTO HIASAN] Alat bantu padam kebakaran perlu diselengga­ra supaya dapat digunakan jika berlaku kejadian tidak diingini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia