Berita Harian

Luahan Williams bukan ancaman: Yusoff

-

Melaka: Pengurusan skuad Melaka United (MU) menganggap luahan bekas jurulatihn­ya Eric Williams yang menjadi tular di media sosial bukan ancaman kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), sebaliknya dilihat sekadar luahan rasa tidak puas hati selepas ditamatkan kontrak.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Williams sudah diberi tujuh bulan membentuk pasukan, namun prestasi MU yang tidak meyakinkan mendorong tindakan menamatkan kontraknya.

Menurutnya, persiapan pasukan sepanjang pra musim, keputusan pusingan pertama liga, Piala FA dan perlawanan awal liga pusingan kedua menjadi penanda aras buatnya untuk diberi pilihan kekal melatih skuad Piala Presiden atau pampasan tiga bulan gaji.

Katanya, atas pilihan sendiri dia memilih tiga bulan gaji walaupun MUSA mahu dia membimbing skuad muda namun selepas tidak bersama MU dia memberi penjelasan berkaitan kesilapan ejen pasukan memilih pemain sedangkan dia dibawa masuk oleh ejen yang sama.

“Apapun saya anggap ia adalah kegagalan komunikasi­nya di dalam pasukan sehingga pemain menuntut dia disingkirk­an. Mulanya saya bertenang tetapi selepas kali kedua termasuk import mendesak perkara sama akhirnya keputusan diambil untuk kebaikan.

Kenangan terburuk

“Apa saja yang dilakukan adalah untuk memastikan MU positif bersaing di Liga Malaysia. Dia berhak bersuara atas rasa tidak puas hati dalam apa perkara sekalipun. Sebagai pengurus itu adalah kuasa kami untuk membuat ketetapan,” katanya.

Fokus MU kini terarah untuk memastikan kejayaan pasukan dan tidak melayan perkara remeh yang menjejaska­n fokus MUSA untuk sentiasa melihat ke hadapan.

Baginya dia juga tidak menyalahka­n Williams sepenuhnya, namun keputusan dibuat adalah untuk wajah dan penampilan pasukan itu sendiri.

Katanya, hak sama ada MUSA memilih mana-mana ejen dan pemain adalah di tangan pengurusan kerana jika gagal, MUSA akan dipersalah­kan, jika berjaya jarang pujian dihamburka­n.

Dalam status tular berkenaan, Williams menyatakan dia menjadi mangsa keadaan selain melabel pemain tempatan sebagai pemalas, walaupun bergaji tinggi. Dia juga mempersoal­kan ejen pemain untuk pasukan Melaka yang sering membawa pemain yang biasa-biasa saja.

Dia mendakwa MU adalah venue kenangan terburuk sepanjang karier kejurulati­han yang mencecah 29 tahun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia