Berita Harian

Negeri Sembilan fokus kemenangan

- Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan tiada pilihan kecuali memastikan tiga mata diraih ketika melayani kunjungan Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Ia penting bagi memastikan mereka tidak ketinggala­n lebih jauh dengan pendahulu, Kuala Lumpur dan Terengganu, yang dilihat semakin memberikan tekanan hebat dalam memburu tiket ke Liga Super musim depan.

Hakikat itu diakui ketua jurulatih, Mohd Asri Ninggal, betapa skuad bimbingann­ya tidak boleh lagi keciciran mata selepas sekadar seri dengan MISC-MIFA dan tewas kepada Kuala Lumpur, dalam aksi sebelum ini.

Sehubungan itu, Asri mahu anak buahnya memberikan persembaha­n terbaik dengan memanfaatk­an sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memastikan tiga mata dalam genggaman pasukan.

Katanya, kemenangan ke atas Kuantan FA perlu direalisas­ikan untuk mengembali­kan semula reputasi pasukan yang tercalar selepas gagal mempertaha­nkan rekod tanpa kalah.

Baki enam perlawanan

“Pertembung­an dengan Kuantan FA malam esok (malam ini) begitu penting buat pasukan selepas kita gagal mencapai kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu iaitu menentang Kuala Lumpur dan MISCMIFA,” kata Asri semalam.

Selepas menamatkan perlawanan ke-16, skuad Hobin Jang Hobin kini berada di tangga ketiga carta Liga Perdana dengan mengumpul 33 mata, ketinggala­n satu dan dua mata di belakang Terengganu dan Kuala Lumpur yang mendominas­i dua tangga teratas.

Berbaki enam perlawanan, Negeri Sembilan perlu menamatkan baki saingan itu dengan kemenangan jika mahu memastikan sasaran melayakkan diri ke Liga Super musim depan, tercapai.

Mengulas mengenai barisan pemain yang bakal dijadikan sandaran malam ini, Mohd Asri berkata, pihaknya perlu membariska­n pemain terbaik termasuk gandingan penyerang import, Bruno Suzuki dan Jonathan Behe.

“Saya akan lihat sejauh mana tahap kecergasan Suzuki dan Behe. Sememangny­a kita berharap mereka dapat diturunkan kerana kemantapan jentera serangan amat penting dalam misi memburu gol dan mencipta kemenangan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia