Berita Harian

Polemik pelaksanaa­n hukum dalam Islam

-

Islam ada konsep pembalasan yang dibahagika­n kepada pembalasan dalam bentuk hukuman di dunia dan hukuman di akhirat.

Walaupun secara asasnya hukuman yang seadil-adilnya akan berlaku di akhirat nanti, namun atas tuntutan untuk menjaga kestabilan hidup bermasyara­kat dan meletakkan garis panduan secara jelas di dalam hubungan sesama anggota masyarakat maka beberapa bentuk hukuman perlu dilaksanak­an di dunia ini.

Negara terpaksa memperuntu­kkan beberapa hukuman kepada rakyatnya yang melakukan perkara dilarang, atau tidak melaksanak­an kewajipan yang sepatutnya dilakukann­ya mahupun melakukan jenayah-jenayah tertentu. Hukuman ini sebagai alternatif kepada jiwa manusia yang tidak boleh ditundukka­n oleh peringatan dan amaran.

Konsep “terpaksa membuat undang-undang dan hukuman di dunia ini masih perlu untuk menjaga kestabilan hidup bermasyara­kat” adalah konsep yang diterima secara umum sama ada hukuman itu diputuskan oleh mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Hukuman bantu kekalkan kestabilan

Namun sangat pelik apabila hukuman itu yang beraura syarie, masyarakat diajak menerima hakikat bahawa biarlah peranan mendidik masyarakat agar patuh kepada peraturan itu dikendalik­an sendiri oleh iman masing-masing.

Tidak perlu kepada hukuman berat bahkan biarlah hukuman sedia ada itu dikekalkan walaupun tidak pernah disemak semula berpuluhan tahun terpakai. Apatah lagi untuk diperkasa mahupun diperbaiki. Segala usaha ke arah itu pasti mengharung berbagaiba­gai cabaran dan rintangan.

Memanglah diakui bahawa penyelesai­an Islam terhadap segala jenis ketidakpat­uhan kepada perintah syarak dan jenayah adalah berasaskan kepada penyelesai­an bersifat akar umbi dalam diri setiap manusia itu.

Maka ia diselesaik­an dengan pengukuhan akidah kepada setiap individu. Rasa diri sentiasa berada di dalam pengawasan Allah (muraqabati­llah), takut balasan Allah dan perkara lain yang berkait dengan akidah sudah tentu memberi kesan kepada penghapusa­n jenayah dalam masyarakat apatah lagi Islam menganjurk­an amar makruf dan nahi munkar di dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bersih daripada tingkah laku jenayah.

Namun, perlu juga diinsafi bahawa iman bukan sentiasa berada kekal di kemuncak, ada masanya ia tewas dengan runtunan hawa nafsu dan kehendak.

Maka sudah tentu dalam kalangan anggota masyarakat itu, jiwa yang rosak dan kalah dengan godaan nafsu akan melanggar peraturan yang dibuat dan ada kalanya mengganggu kestabilan masyarakat.

Dalam situasi ini hukuman sangat perlu untuk mengekalka­n kestabilan masyarakat, memberi pengajaran kepada pelakunya dan mengingat anggota masyarakat lain agar jangan cuba-cuba melakukan jenayah yang sama.

Zina adalah jenayah

Sebagai contoh seperti jenayah zina. Islam menganggap zina itu adalah jenayah walaupun pejuang hak asasi manusia versi sekular mengatakan ia adalah hak asasi manusia.

Islam menganggap­nya jenayah kerana ia sudah melanggar perintah Allah SWT. Al Quran dan hadis sangat jelas, bukan sahaja berzina, tetapi wajib menjauhi perbuatan yang mengarah kepadanya seperti berdua-duaan lain, membuka aurat, tidak menjaga pandangan dan wajib memelihara maruah.

Zina juga dianggap jenayah di dalam Islam kerana bukan sahaja ia membabitka­n dosa dua pelakunya tetapi sebenarnya ia melakukan jenayah kepada kestabilan hidup bermasyara­kat.

Masakan tidak, ia telah merosakkan sistem penjagaan keturunan di dalam masyarakat bahkan ia membabitka­n keduadua pihak keluarga pelakunya.

Keluarga menjadi malu, masyarakat menjadi aib, sistem pendidikan dianggap tidak berkesan dan kesan-kesan lain.

Mereka yang sengaja tidak mahu memahami konsep ini sering cuba mengalih pandangan orang ramai dengan memberi gambaran kejamnya hukuman itu dan mengajak masyarakat bersimpati dengan pelaku kesalahan.

Hukuman ini perlu bagi manusia yang imannya gagal membentuk dirinya sebagai warga masyarakat yang baik bahkan mencabar sistem masyarakat itu sendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia