Berita Harian

Gaji kecil punca tak mampu beli kediaman

-

Kuala Lumpur: Kesempitan hidup di ibu kota menyebabka­n rata-rata penjawat awam kumpulan pelaksana dengan gaji bulanan di bawah RM3,000 masih menyewa dan tidak mampu membeli rumah sendiri.

Selain itu, ada penjawat awam mengakui harga rumah yang terlampau mahal, kawasan perumahan jauh dari tempat kerja dan syarat membeli rumah ketat menyebabka­n mereka terpaksa menyewa di ibu kota.

Penjawat awam di Putrajaya, Maslina Saimin, 31, mengakui bukan sahaja tidak mampu mempunyai rumah tetapi turut kesempitan wang setiap hujung bulan.

“Perbelanja­an harian sentiasa meningkat. Saya terpaksa hantar dua anak ke pusat asuhan dengan bayaran sekitar RM600 sebulan. Tidak termasuk belanja membeli susu, lampin pakai buang dan makanan anak.

“Selepas tolak ansuran kereta, belanja harian dan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kadang-kadang baki hujung bulan kami suami isteri, negatif. Macam mana saya nak beli rumah,” tanyanya.

Maslina kini tinggal di kuarters kerajaan di Precint 8, Putrajaya.

Masalah sama turut menghimpit kakitangan Kementeria­n Kerja Raya, Ain Munira Johari, 29, yang masih bergelut membeli sebuah rumah selepas lapan tahun bekerja.

Tanggungan besar

Katanya, beliau dan suami tidak mampu membeli rumah buat masa ini kerana pendapatan kecil dan mempunyai tanggungan besar.

“Saya teringin miliki rumah sendiri supaya anak lebih selesa tetapi masih belum mampu. Saya pernah mengemukak­an permohonan untuk rumah 1Malaysia (PR1MA) tetapi harganya terlampau mahal untuk golongan kurang mampu.

“Bayangkan satu projek perumahan harganya sekitar RM300,000,” katanya yang juga tinggal di kuarters kerajaan di Putrajaya.

Sementara itu, guru Kelas Alquran dan Fardhu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Jauhariah Mohammed Salleh, 32, turut mengakui masih tidak mampu membeli rumah selepas tiga tahun berkahwin.

Katanya, beliau dan suami juga terpaksa tinggal berjauhan kerana tidak mampu tinggal serumah di Kuala Lumpur, untuk menjimatka­n kos belanja harian.

“Sebenarnya saya sudah jemu mencari rumah yang menepati kelayakan gaji dan mampu membayar ansuran bulanan. Sebelum ini, saya turun naik ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memohon satu unit rumah, tetapi gagal.

“Saya dimaklumka­n, ramai yang sudah memohon sebelum saya, belum mendapat rumah dan terpaksa menunggu sekurang-kurangnya beberapa tahun lagi,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Pantai Dalam, di sini.

Syarat di luar kemampuan

Ketika ditanya mengenai projek perumahan disediakan kerajaan, Jauhariah berkata, ada sesetengah projek mengenakan syarat di luar kemampuann­ya yang bergaji RM1,400 sebulan, manakala suami tidak berpendapa­tan tetap.

Jauhariah merancang pulang ke kampung di Pantai Timur, hujung tahun ini jika gagal keluar daripada kemelut hidup di ibu kota.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia