Berita Harian

Platform terbaik orang luar lebih kenali FELDA

-

Kuala Lumpur: Karnival Ekspresi FELDA Negaraku Malaysia yang berlangsun­g bermula semalam menjadi platform terbaik untuk orang ramai mengenali dengan lebih dekat agensi berkenaan.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata karnival seumpama itu kali pertama dianjurkan, serentak dengan sambutan Hari Peneroka esok.

Katanya, masyarakat FELDA kini tidak lagi boleh berada di dalam kelompok mereka dan perlu mendekati masyarakat lain.

“Sudah ramai anak FELDA yang berjaya sehingga menjadi ikon dan johan musabaqah al-quran selain mendapat kerjaya yang baik.

“Tetapi kita rasa masih ada lagi salah faham (mengenai FELDA) dan sebab itu bila kita anjur karnival ini, kita bukan syok sendiri. Kita buat dengan beberapa kementeria­n dan agensi kerajaan,” katanya pada sesi wawancara dalam program rancangan Nasi Lemak Kopi O, semalam.

Ubah pendekatan FELDA

Shahrir berkata, menerusi karnival itu, beliau cuba mengubah pendekatan FELDA seperti dilakukann­ya dalam pembinaan rumah generasi kedua agensi itu.

“Jika tidak, FELDA mahu membangunk­an sendiri projek perumahan itu, contractor driven. Saya kata, kita ada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), mengapa tidak ajak mereka bersama (projek ini).

“Tidak perlu untuk kita menubuhkan baharu (syarikat pembinaan) asalkan manfaat dan faedah itu diterima oleh peneroka dan anak mereka,” katanya.

Shahrir turut menjemput golongan muda FELDA hadir pada program dialog Transforma­si Nasional 2050 (TN50) hari ini.

“Saya ingin mendengar idea dan pandangan orang muda FELDA dalam dialog ini. Janganlah kita bercakap mahu tubuhkan Universiti FELDA.

“Asyik nak berbelanja saja, patut kita mahu lebih ramai anak FELDA ke universiti. Biar kita yang kuasai Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.

Karnival selama tiga hari bermula semalam di Dataran Putrajaya itu menyediaka­n pelbagai program dan aktiviti menarik untuk pengunjung.

Antaranya, jualan murah, pameran serta jualan produk perusahaan kecil dan sederhana, jualan trak makanan, program ‘Meneroka FELDA Bersama Upin dan Ipin’ serta kaunter bergerak pelbagai perkhidmat­an.

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] ?? Shahrir ketika prapelanca­ran Finnet ATM sempena sambutan Hari Peneroka di Dataran Putra, Putrajaya, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] Shahrir ketika prapelanca­ran Finnet ATM sempena sambutan Hari Peneroka di Dataran Putra, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia