Berita Harian

Khairy cabar Chong Wei

Ikuti jejak gemilang Azizulhasn­i, Ziyad, Latif, Jun Hoong rangkul kejuaraan dunia

- Oleh Jumiati Rosly

Selepas beberapa atlet berjaya merangkul kejuaraan dunia, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tumpuan kini tertumpu kepada jaguh perseorang­an badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk memburu kegemilang­an itu di Glasgow, Scotland bulan depan.

Malah Khairy optimis atlet pecut para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi tidak berdepan masalah untuk mempertaha­nkan kejuaraan dunia acara 100 meter dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, awal pagi esok.

“Saya harus akui tahun ini adalah pencapaian terbaik sukan negara dengan beberapa atlet sudah merangkul kejuaraan dunia.

“Esok (hari ini) saya tidak fikir Mohd Ridzuan Pozi akan berdepan masalah untuk mempertaha­nkan gelaran juara dunia (Kejohanan Olahraga Para Dunia) di London. Saya tidak meragui prestasiny­a.

“Bagaimanap­un, tekanan kini lebih kepada kepada Chong Wei, dia pemain terhebat Malaysia namun masih belum menang Kejohanan Dunia. Bagaimanap­un pencapaian Azizulhasn­i dan Jun Hoong meringanka­n beban dia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran koleksi terhad Sukan SEA 2017 dan Sukan Para ASEAN 2017 (KL2017) di sini, semalam.

Faktor umur

Sehingga hari ini, empat atlet sudah menempa kejayaan di empat kejohanan dunia bermula dengan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasn­i Awang yang berjaya membuktika­n fizikal bukanlah penghalang baginya menyarung jersi pelangi dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong pada April lalu.

Pemenang pingat emas Olimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly dengan dibezakan 12 jam sahaja masing-masing mengharumk­an nama negara di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada hujung minggu lalu.

Ziyad bukan sekadar memenangi emas di kejohanan itu tetapi dia juga memecahkan rekod dunia miliknya bagi memenangi lontar peluru kategori F20 dan Latif mengekalka­n pingat emas acara lompat jauh kategori T20.

Tidak terhenti di situ, penerjun negara, Cheong Jun Hoong mengejutka­n Tembok China apabila menjulang pingat emas acara 10 meter platform individu wanita, kelmarin.

Khairy berkata dia ada bertemu Chong Wei dua hari lalu dan menyatakan tentang kehebatan Roger Federer yang berusia 35 tahun namun masih mampu bergelar juara di Australia dan Wimbledon.

“Saya katakan umur bukanlah faktor (penghalang) bagi anda (Chong Wei). Saya berharap dia akan melakukan yang terbaik kali ini," katanya.

Dalam empat penyertaan di Kejohanan Dunia, Chong Wei memperoleh tiga pingat perak dan satu gangsa dan berkemungk­inan melakukan percubaan terakhir di Kejohanan Badminton Dunia pada 21–27 Ogos di Arena Emirates Arena di Glasgow, Scotland.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia