Berita Harian

Hanya calon pilihan pengundi jadi wakil BN

Kajian bebas cari calon disukai rakyat

- Oleh Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan bhnews@bh.com.my

Hanya calon yang dikenal pasti menerusi kajian bebas, boleh menarik sokongan pengundi demi kemenangan parti akan diturunkan sebagai wakil UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO itu berkata, calon terbabit tidak semestinya mempunyai jawatan dalam kepemimpin­an bahagian, sebaliknya dikenal pasti menerusi kajian bebas yang dijalankan.

“Kami (pucuk pimpinan parti) buat kajian bebas dan (kaji keupayaan) calon boleh menang, tidak kira siapa, walaupun tiada jawatan di atas (bahagian).

“Pengundi lebih tahu personalit­i yang mereka mahukan, ini satu pendekatan baharu yang (Datuk Seri) Najib (Razak) akan lakukan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Setiawangs­a di sini, semalam.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Ketua UMNO Bahagian Setiawangs­a, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique.

Ahmad Zahid menyifatka­n, perpecahan dalaman UMNO dan BN serta kegagalan mengemukak­an calon disukai rakyat, sebagai tiga faktor boleh menyukarka­n parti itu memperoleh kemenangan besar pada PRU akan datang.

Perpecahan punca jentera tempang

Beliau berkata, bersandark­an pengalaman PRU lalu, perpecahan dalaman UMNO, ternyata memberi implikasi besar kepada perpaduan parti dan dikenal pasti punca jentera tempang serta gagal berfungsi secara menyeluruh.

Katanya, banyak kerusi yang UMNO kalah berpunca daripada perpecahan dalam kalangan kepemimpin­an bahagian dan sayap, yang sepatutnya memberi peluang kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan dalam menentukan calon.

Terdahulu ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini, Ahmad Zahid menuntut parti komponen BN untuk lebih serius berusaha memperoleh kemenangan di kawasan majoriti bukan Melayu.

Beliau berkata, wakil MIC, MCA dan Gerakan tidak seharusnya hanya berharap sokongan Melayu untuk menang pada kerusi yang ditandingi, sebaliknya mereka perlu menterjema­hkan imej kemajmukan BN dengan membuktika­n kekuatan sendiri.

Letak calon terbaik

“Saya lihat rakan komponen, mereka sukar untuk mengekalka­n kemenangan di kawasan sendiri (majoriti bukan Melayu), sama ada di (Parlimen) Bentong, Segamat dan Teluk Intan, iaitu kerusi yang dimenangi presiden komponen.

“Saya nyatakan ini, sudah tiba masa untuk buktikan calon komponen yang diletakkan di kawasan bukan Melayu mesti terbaik. Mereka juga mesti menang di kawasan itu,” katanya.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Langat juga, Ahmad Zahid meminta komponen Barisan Nasional (BN) di Selangor, bangkit bekerja keras bagi membantu merampas semula negeri itu.

Katanya, pemimpin BN termasuk UMNO di Selangor, perlu sedar mereka kini adalah pembangkan­g di negeri itu dan tidak boleh bersikap selesa dengan bantuan disalurkan Kerajaan Pusat.

Kami (pucuk pimpinan parti) buat kajian bebas dan (kaji keupayaan) calon boleh menang, tidak kira siapa, walaupun tiada jawatan di atas (bahagian). Pengundi lebih tahu personalit­i yang mereka mahukan, ini satu pendekatan baharu yang Datuk Seri Najib Razak akan lakukan” Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO

 ?? [ FOTO BERNAMA] ?? Ahmad Zahid bersama perwakilan UMNO yang turut dihadiri Tengku Adnan (tiga dari kanan) dan Zulhasnan pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Setiawangs­a, semalam.
[ FOTO BERNAMA] Ahmad Zahid bersama perwakilan UMNO yang turut dihadiri Tengku Adnan (tiga dari kanan) dan Zulhasnan pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Setiawangs­a, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia