Berita Harian

Dagangan dijangka kukuh

Faktor domestik, luaran mampu lonjak FBM KLCI sekitar paras 1,770

-

Dagangan di Bursa Malaysia dijangka kukuh minggu ini dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak pada paras 1,770, disokong oleh faktor domestik dan luaran, iaitu peningkata­n dalam bursa global dan Bajet 2018 yang akan datang.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata prestasi Wall Street, Nasdaq dan S&P 500 yang kukuh, selain keputusan Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan untuk mengekalka­n dasar semasa mereka, meredakan pasaran.

“Bagi minggu depan, kami akan melihat fokus kepada saham teknologi dan pembinaan susulan mereka mengunjurk­an akan meraih manfaat daripada Bajet 2018 yang akan datang. Kami melihat bajet berkenaan akan memainkan peranan penting dalam pasaran,” katanya kepada BERNAMA.

Nazri berkata, ringgit yang stabil dan penanda aras minyak mentah Brent yang tinggi juga baik untuk pasaran.

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat kepada 4.2820/2850 berbanding 4.2900/2930 ditutup pada Khamis, manakala penanda aras global kini diniagakan melebihi AS$50 satu tong.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI rendah pada awal minggu ini berikutan kekurangan pemangkin baharu.

Bagaimanap­un, ia naik 4.16 mata kepada 1,759.16 pada hari dagangan terakhir, mengambil petunjuk daripada pasaran global yang positif.

Indeks FBM Emas menokok 45.33 mata kepada 12,540.01, Indeks FBMT 100 meningkat 37.7 mata kepada 12,1179.89 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 45.15 mata kepada 12,719.89.

FBM 70 melonjak 78.64 mata kepada 14,915.89, bagaimanap­un FBM Ace susut 73.69 mata kepada 6,775.48.

Mengikut sektor, Indeks Perladanga­n naik 17.03 mata kepada 7,871.35 dan Indeks Perusahaan meningkat 10.37 mata kepada 3,275.14.

Indeks Kewangan, bagaimanap­un, jatuh 0.51 mata kepada 16,671.14. Jumlah dagangan meningkat kepada 9.96 bilion unit bernilai RM10.01 bilion daripada 9.29 bilion unit bernilai RM9.29 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 6.49 bilion saham bernilai RM9.26 bilion daripada 5.62 bilion saham bernilai RM8.55 bilion pada Jumaat terdahulu.

Jumlah waran naik kepada 742.7 juta unit bernilai RM69.76 juta daripada 690.32 juta unit bernilai RM72.88 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkuranga­n kepada 2.68 bilion saham bernilai RM668.58 juta daripada 2.84 bilion saham bernilai RM632.99 juta sebelum ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia