Bersediakah atlet penuhi sasaran Sukan SEA 2017?
Sukan SEA akan hadir tidak lama lagi. Menetapkan sasaran dan matlamat memang memberikan sesuatu untuk kita berusaha dan meningkatkan keyakinan diri jika berjaya memperolehnya. Hakikatnya, kita akan dipersalahkan jika gagal mencapai sasaran yang dinyatakan.
Secara peribadinya sesiapa sahaja akan rasa takut, cemas, tidak menentu atau gusar. Ia akan kelihatan lebih mudah dan lebih selamat daripada cuba melakukan sesuatu atau pun cuba menangani isu yang disuarakan.
Tahap kerisauan dan takut gagal akan meningkat apabila fikir apa yang kita boleh lakukan untuk capai kejayaan. Takut pada kegagalan membunuh begitu banyak impian sebelum kita berpeluang memulakannya.
Kita mungkin sudah terbiasa dengan kegagalan demi kegagalan dan sering membenarkan ini untuk menghalang kita mengatasi cabaran atau menetapkan matlamat untuk diri sendiri. Lagi pun apabila kita kalah, kita tetap akan beraksi di lain kejohanan.
Atasi kerisauan, ketakutan
Ketakutan merampas keyakinan diri kita dan membolehkan kita memberi alasan mengapa kita tidak dapat melakukan sesuatu atau menjadikannya kenyataan. Atasilah kerisauan dan ketakutan dan berhenti meremehkan diri. Kita tahu kemampuan kita lebih daripada apa yang kita fikirkan.
Pasukan atau atlet kita tidak cukup kuat atau bagus? Mengapa? Apakah matlamat dan sasaran tidak bermakna kepada mereka? Jadi mengapa buat sasaran dan menetapkannya? Apabila kita menetapkan matlamat untuk sebab yang salah dan mengejar perkara yang kita tidak boleh capai, elok sahaja tidak perlu meneruskannya.
Tidak mungkin kita tidak menetapkan keutamaan. Mana-mana pasukan mahupun atlet sudah tentu bersedia mengambil bahagian dalam banyak kejohanan. Pendedahan dan pengalaman sudah diraih, tidakkah ia mencukupi?
Jika alasan tidak cukup masa diberikan, sekurang-kurangnya jadikan pendedahan dan pengalaman yang diperoleh penting dan bernilai kepada karier sukan. Tidak dinafikan, apabila kita terlalu memberi perhatian, tenaga dan tumpuan untuk memenangi semua kejuaraan, kita gagal mengenali kemahiran dan kepakaran dalam bidang paling memberi kejayaan dan paling sesuai untuk kita.
Adalah penting bagi kita untuk tahu apa yang kita benar-benar hebat dan beri tumpuan menyempurnakan perkara itu. Kita tidak boleh berjaya atau menang semuanya dan kita tentu tidak boleh menjuarai segalanya.
Tumpukan usaha, tenaga
Kita juga gemar menggembargemburkan dan mensensasikan kenyataan. Semakin kita bercakap perkara yang kita mahu lakukan, tetapi gagal melakukannya, semakin banyak kita akan dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan.
Kita harus dan perlu belajar kurang bercakap dan menumpukan usaha dan tenaga untuk melakukan sesuatu daripada membicarakannya. Biarkan hasil keputusan menunjukkan kejayaan dan banyak bertindak daripada bercakap lebih daripada sepatutnya.
Memang benar sesuatu yang bernilai dihajati bukanlah mudah. Sesetengah matlamat dan sasaran memerlukan keringat yang tiada akhirnya. Kita hidup dalam era yang mendahagai kejayaan dan kepuasan.
Tiada kejayaan hadir dalam sekelip mata. Perlukah dipersoalkan ketekunan, dedikasi dan disiplin diperlukan dalam memenuhi matlamat atau mengubah sasaran kita. Kita perlu bersedia menghadapinya.