Berita Harian

Tiada lagi doa ibu buat Fauzi

- Oleh Sukhairi Thani

Kuala Lumpur: Tiada lagi kiriman doa seorang ibu buat pesilat negara, Fauzi Khalid apabila insan tersayang, Maimon Sirun meninggal dunia Selasa lalu, sekali gus memberi kesan psikologi menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Titipan doa ibu sentiasa menjadi azimat buat Fauzi setiap kali menyertai latihan mahupun kejohanan dan berdepan KL2017, pemenang emas di Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011 itu, berazam menghadiah­kan kilauan emas buat arwah ibunya.

Keinginan Fauzi memburu emas yang terlepas di temasya Myanmar 2013 dan Singapura 2015 membuak apatah lagi dia tidak berupaya meluangkan banyak masa bersama ibunya susulan jadual persediaan ke Sukan SEA yang begitu padat.

“Pada mulanya memang saya tidak boleh menerima kenyataan ini kerana emak adalah sumber kekuatan saya,” kata Fauzi yang hanya sempat menemui ibunya pada awal Ramadan lalu sebelum berangkat ke pergununga­n Da Lat di Vietnam untuk latihan intensif dan menyambut Aidilfitri di sana.

“Sebelum ini, setiap kali saya hendak pergi ke mana-mana, saya selalu memberitah­unya untuk memohon berkat doanya. Selepas mak pergi, sumber kekuatan itu sudah tidak ada lagi. Alhamdulil­lah saya bersama ayah dan semangat saya kini lebih kepada mahu berjuang demi mak saya.”

Masalah jantung lemah

“Sasaran saya di Sukan SEA nanti adalah untuk mengembali­kan kejuaraan dan cuba meraih emas buat mak saya.”

Allahyarha­mah Maimon menghembus nafas terakhir Selasa lalu dipercayai akibat masalah jantung lemah dan ketika itu, Fauzi sedang mengikuti kem latihan silat di Bukit Fraser, Pahang.

Pesilat berusia 30 tahun ini berkata, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumka­n mengenai berita sedih itu ketika berada di Bukit Fraser.

“Mak ada cakap yang dia mahu berjumpa dengan saya. Sebelum ini saya ada di Vietnam (latihan), tak sempat beraya dengan dia. Balik (dari Vietnam) isteri melahirkan anak pertama, jadi saya tak dapat balik berjumpa dengan dia,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Fauzi (kanan) sasar buru emas yang terlepas di temasya Myanmar 2013 dan Singapura 2015.
Fauzi (kanan) sasar buru emas yang terlepas di temasya Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia