Berita Harian

Sathianath­an geram kerenah pengadil

- Oleh Syed Riduan Ahmad

Shah Alam: Pengendali FELDA United B Sathianath­an akur dengan kekalahan 1-0 di tangan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin tetapi kecewa dengan tambahan masa kecederaan yang terlalu pendek.

Pada perlawanan berkenaan, Perak kendalian Mehmet Durakovic bermula garang dan mendahului permainan menerusi sepakan penalti minit ke-11 Yashir Pinto selepas bola terkena tangan Shukor Adan.

Bagi Sathianath­an, dia tiada masalah dengan keputusan pengadil berkenaan, termasuk dalam keseluruha­n permainan, namun tambahan masa satu minit di akhir babak pertama terlalu pendek berbanding tempoh permainan terpaksa diberhenti­kan sepanjang 45 minit pertama.

"Saya tiada masalah dengan penalti itu, kerana tiada isu bola ke tangan atau tangan ke bola, tetapi saya ingin cadangkan kita buat seperti hoki, apabila permainan terhenti masa perlu dihentikan," kata Sathianath­an selepas perlawanan.

Tidak percaya

"Saya tidak percaya (dengan tambahan masa satu minit) sebab cara Perak bermain, ia sepatutnya lapan minit. Jatuh sana, jatuh sini macam nangka busuk, pada minit ke-39 permainan terhenti lebih tiga minit.

"Saya harap FIFA mungkin boleh tukar undang-undang. Saya tak nak salahkan pengadil, mungkin dia tak nampak. Saya tahu kerja pengadil susah tetapi saya mahu bantu dia.

"Saya pakai jam Casio asli, saya percaya ia tepat. Kalau dia tidak ada jam itu kita belikan dia jam. Ataupun kita adakan seorang yang jaga jam. Itu saja. Saya yakin tidak akan ada lagi pembaziran masa dan permainan akan lebih menarik."

Dalam pada itu, Mehmet Durakovic yang teruja dapat kembali ke Stadium Shah Alam, kelmarin berkata, ia satu kemenangan yang cukup berharga kerana skuad kendalian Sathianath­an bukan lawan yang mudah.

"Saya sangat gembira kerana ia bukan sesuatu yang mudah. Pemain melakukan tugas mereka dengan cemerlang. Kami menguasai permainan dari awal hingga akhir dan mencipta banyak peluang.

"FELDA adalah pasukan yang hebat dan saya gembira dengan tiga mata ini. Kini fokus kami ialah mendapatka­n rehat secukupnya sebelum bertandang ke laman Johor Darul Ta'zim (JDT) tiga hari lagi,” katanya.

 ??  ?? Pemain Perak, Mohamad Nasir Basharudin (dua dari kiri) diasak pemain FELDA United, K Prabakaran pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Pemain Perak, Mohamad Nasir Basharudin (dua dari kiri) diasak pemain FELDA United, K Prabakaran pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia