Berita Harian

SPRM pantau operasi Unit Integriti dan Tadbir Urus

-

Kuala Lumpur: Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan Unit Integriti dan Tadbir Urus di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta entiti perniagaan milik negeri dan kementeria­n.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata unit berkenaan akan berada di bawah pengawasan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, secara tepatnya, penubuhan unit itu adalah untuk meningkatk­an keyakinan dalam semua aspek menjalanka­n perniagaan di Malaysia.

Katanya, penubuhan unit itu juga sebagai tindak balas kepada komuniti perniagaan yang mahukan jaminan mengenai komitmen kerajaan dalam pembaharua­n semula yang diperlukan dan dalam memupuk budaya keusahawan­an serta ketelusan, akauntabil­iti dan mempunyai peraturan yang baik.

“Pasaran, komuniti perniagaan dan syarikat mahukan kekuatan serta kestabilan. Mereka mahu kerajaan memberi jaminan kemakmuran rakyat dapat dipenuhi secara mesra perniagaan, manakala pelaburan langsung asing (FDI) yang diperoleh tidak menjejaska­n kedaulatan negara walau seinci sekalipun,” katanya dalam ucaptama perasmian Invest Malaysia Kuala Lumpur 2017 (IMKL 2017) di sini, semalam.

Perdana Menteri turut mengumumka­n, kerajaan akan menamakan syarikat senaraian awam (PLC) yang tidak mempunyai wanita dalam barisan lembaga pengarah mulai Januari depan.

Beliau berkata, kerajaan akan berbuat demikian bagi menggesa syarikat terbabit menyelesai­kan isu kekurangan kepelbagai­an dari segi jantina dalam lembaga pengarah.

“Kita masih mempunyai 17 daripada 100 PLC terkemuka yang belum mempunyai wanita dalam lembaga pengarahny­a,” katanya.

Dari segi pembabitan wanita dalam pasaran buruh, Najib berkata, kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh meningkat kepada 54.3 peratus tahun lalu berbanding 46 peratus pada 2009.

Beliau berkata, dari segi sasaran 30 peratus wanita berada dalam pengurusan tertinggi syarikat, Malaysia mencapai sasaran itu dengan 1,446 wanita daripada 4,960 dalam barisan pengurusan tertinggi tidak termasuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif setakat Disember 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia