Berita Harian

FELDA anjur program pujuk peneroka

Pengurusan agensi pada semua peringkat turun padang ajak kembali bermuafaka­t

- Oleh Rohaniza Idris

FELDA merangka pelbagai program untuk memujuk 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepadanya, termasuk dengan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah untuk berbincang secara bersemuka mengenai isu yang dihadapi mereka.

Agensi itu akan turut menganjurk­an Program Mesra FELDA ataupun Program Cakna Komuniti di Wilayah-wilayah FELDA bagi mendekati masyarakat peneroka untuk memberi penjelasan kepada mereka.

FELDA dalam kenyataann­ya semalam berkata, program itu akan turut disertai oleh pengurusan agensi itu pada semua peringkat.

“Setiap tahun, FELDA peringkat pengurusan rancangan memujuk peneroka yang tidak bersama kita untuk kembali bermuafaka­t. Tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita secara rasminya memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada FELDA dan peneroka yang menyaman FELDA, untuk kembali bermuafaka­t.

“Tempoh kembali bermuafaka­t adalah enam bulan bermula Ogos ini. Peneroka yang kembali bermuafaka­t layak untuk menerima insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri bermula pada Februari 2018,” kata kenyataan itu.

Pemberian insentif

BH semalam melaporkan beberapa peneroka yang menyaman FELDA menyatakan mereka masih belum membuat keputusan untuk kembali bermuafaka­t bersama agensi itu, namun sedia berbincang bagi menyelesai­kan isu mereka.

Ahad lalu, Perdana Menteri pada sambutan Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan mengumumka­n akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada FELDA bermuafaka­t bersama organisasi itu.

Peneroka yang kembali bermuafaka­t layak untuk menerima enam insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, termasuk pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih menanam semula melalui FELDA, dengan peruntukan berjumlah RM519 juta.

Pemberian kelulusan membina lebih satu unit rumah dalam satu tapak di tanah rancangan FELDA; dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula berjumlah RM300 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.

Insentif keempat adalah pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FELDA Global Ventures (FGV) membabitka­n 77,934 peneroka dengan baki pinjaman pada kadar ringgit ke ringgit; kelima, insentif geran khas tanam semula peneroka dan keenam, bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 akan diberikan kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh, dengan peruntukan RM474.78 juta.

FELDA turut membayar Insentif Raya dan Dividen Saham FGV kepada peneroka yang bersama FELDA hampir setiap tahun sebagai salah satu cara untuk menarik peneroka yang tidak menghantar hasil kepadanya untuk kembali bersama FELDA.

Mengenai insentif pemberian kelulusan membina lebih satu unit rumah dalam satu tapak di tanah rancangan FELDA, kenyataan itu menyebut FELDA menyediaka­n Pinjaman Pembesaran Rumah kepada peneroka yang berkelayak­an sejak 2005.

Pinjaman itu adalah untuk pembesaran dan pengubahsu­aian rumah asal dengan keutamaan kepada rumah peneroka yang masih dalam bentuk asal.

“Pembinaan rumah kedua di tapak yang sama adalah di atas pembiayaan peneroka sendiri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia